Ziarah Tautan Ukhuwah PEMBINA Negeri Sembilan ke Perak


Photobucket

Pada 26 April 2009 yang lalu, bersamaan dengan 1 Jamadil Awal 1430, PEMBINA Negeri Sembilan telah mengadakan kunjungan ziarah tautan ukhuwah ke negeri Perak Darul Ridzuan. Rombongan seramai 7 orang tersebut diketuai oleh YDP ISMA Seremban, Ustaz Azizee bin Hasan dan beberapa orang ahli PEMBINA  dari sekitar Nilai dan Seremban. Kunjungan ziarah yang bermula seawal 9 pagi di Masjid Bandar Baru Nilai ini bertujuan untuk mempertautkan ukhuwah di kalangan peserta dan secara tidak langsung memperbaharui iman serta mengukuhkan semangat dakwah. Kembara Perak ini dikendalikan oleh saudara Shairawi selaku pemandu pelancong berbekalkan kemahiran beliau dengan jalan-jalan di sekitar Perak hasil pengalaman menuntut di Sekolah Islam Al-Hidayah, Ipoh dahulu.

Setelah melalui perjalanan selama 4 jam, rombongan PEMBINA NS tiba di destinasi pertama iaitu kampung halaman  saudara Mabrur di Kuala Kangsar. Rombongan disambut dengan senyuman oleh ayah Mabrur, Pak Cik Ahmad. Selepas  sedikit sesi kenal-mengenali antara satu sama lain, para peserta dijemput untuk menjamu selera dengan juadah yang serba lazat. Terima kasih diucapkan kepada Pak Cik Ahmad sekeluarga atas layanan baik yang diberikan. Beliau juga sempat berpesan agar jalinan ukhwah ini akan diingati dan mendapat rahmat daripadaNya. Walaupun  ringkas tetapi ia memberi makna yang mendalam buat ahli-ahli PEMBINA NS dalam mengharungi perjalanan jauh ini. Kembara kemudian diteruskan ke destinasi seterusnya iaitu Ipoh.

Sebelum kami ke Ipoh, rombongan singgah sebentar di Masjid Ubudiah yang memang terkenal di Kuala Kangsar bagi menunaikan kewajipan solat. Selesai solat, perjalanan diteruskan pula menuju ke Pejabat ISMA Perak di Ipoh. Ketibaan ahli-ahli PEMBINA dari Negeri Sembilan pada pukul 4.50 petang disambut hangat oleh teman-teman seangkatan dari Perak yang hampir mencapai 30 orang semuanya. Turut bersama pada petang itu ialah Ustaz Mohd Razmi Isa, YDP ISMA Cawangan Ipoh. Majlis pertemuan tautan ukhuwah dimulai dengan sesi ta’aruf dan diteruskan dengan sedikit pengisian rohani daripada kedua-dua YDP ISMA yang menyentuh berkaitan ukhuwah islamiah dan halatuju dalam memperjuangkan dakwah.

Ustaz Razmi menasihatkan semua yang hadir bahawa dakwah ini memerlukan kesatuan hati yang jitu dalam memikul tanggungjawab ini. Kesatuan ini perlu dibelai dengan jalinan yang baik dan secara tidak langsung akan meningkatkan semangat dalam amal dakwah. Ustaz Azizee pula menambah bahawa dua perkara yang mesti dikuasai iaitu kekuatan Iman dan Ukhuwah. Kekuatan iman akan memastikan ketaqwaan semakin meningkat dan konsisten dalam kehidupan sebagai hambaNya. Selepas itu, kekuatan ukhwah merupakan kekuatan utama dalam sesebuah jamaah atau kumpulan yang akan mendorong kelancaran sesuatu amal dalam jamaah atau kumpulan.

Bagi menghargai kedatangan saudara-saudara seperjuangan dari Negeri Sembilan, Ustaz Razmi telah menyerahkan cenderamata kepada Ustaz Azizee sebagai tanda ukhuwah Islamiah yang akan kekal hingga ke akhirat. Selesai menjamu selera, kembara diteruskan ke destinasi terakhir ziarah di Perak kali ini, iaitu rumah Ustaz Razmi sebagai memenuhi jemputan beliau. Rombongan PEMBINA NS kemudian bertolak balik ke Negeri Sembilan setelah mengharungi satu pengalaman yang cukup bermakna. Diharapkan kembara kali ini berhasil memberi kesan yang positif terhadap jiwa-jiwa peserta  dalam melengkapkan proses tarbiyyah masing-masing.

Posted on 4 May 2009, in Aktiviti. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: