PEMBINA NS Bersama Nobatkan Agenda Perjuangan Ummah di KBAZ


Tanggal 9 Mei 2009 mencipta sejarah ulung dengan penganjuran ‘Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis (KBAZ)’ oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Aman Palestin Berhad yang berjaya menghimpunkan lebih 3,000 orang peserta dari seluruh pelosok tanahair. Pentas yang dipilih untuk melonjakkan agenda perjuangan umat Islam sejagat ini ialah Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), suatu lokasi yang bukan calang-calang sekaligus membuktikan keseriusan pihak penganjur dalam mengarus perdanakan isu Palestin. Para pembentang kertas kerja yang diundang khas pula adalah tokoh-tokoh antarabangsa yang terdiri daripada Dr Azzam al-Tamimi, Dr Mohsen Saleh dan Dr Roslan Mohd Nor.

Lebih signifikan lagi, penganjuran KBAZ ini telah membuka satu dimensi baru dalam memacu aktivisme masyarakat, khususnya golongan belia berkenaan dengan agenda Palestin. Majoriti peserta merupakan para belia yang hadir dengan kesedaran dan keprihatinan terhadap perihal umat Islam sejagat. Seperti mana yang ditegaskan oleh Presiden PEMBINA, Dr Kamil Azmi Tohiran, sambutan positif oleh golongan belia  ini menidakkan stigma masyarakat yang sering mengaitkan belia dengan gejala-gejala sosial seperti merempit, budaya lepak, pergaulan bebas dan pelbagai lagi. Ini menjadi petanda yang jelas bahawa masyarakat kita belum lagi ketandusan golongan belia yang bakal membawa perubahan kepada nasib umat ini.

Para ahli dan sukarelawan PEMBINA Negeri Sembilan juga tidak ketinggalan dalam menjayakan konvensyen bersejarah ini samada sebagai tenaga kerja ataupun peserta. Belia-belia yang terdiri daripada penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Negeri Sembilan turut hadir bagi menyuarakan sokongan tidak berbelah bagi kepada umat Palestin. Antara IPT-IPT yang menghantar peserta ke KBAZ ini ialah Kolej MARA Seremban (KMS), Politeknik Port Dickson, Kolej UNITI Port Dickson, Institut Tahfiz Al-Quran (ITQAN), Maahad Ahmadi, Pusat Asasi UIA Nilai, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM). Semoga penganjuran KBAZ ini menjadi titik tolak kebangkitan golongan belia di Malaysia dalam menerajui perjuangan umat Islam.

Posted on 19 May 2009, in Aktiviti. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: