Rehlah PEMBINA NS ke Port Dickson Tautkan Ukhuwwah di Kalangan Belia


Tanggal 20 Jun 2009 lepas, PEMBINA Negeri Sembilan telah menganjurkan satu rehlah ke pantai peranginan tersohor di Malaysia iaitu Port Dickson. Rehlah tersebut bukan sebarang rehlah, tapi rehlah dinniah yang dianjurkan atas semangat ukhuwwah Islam. Sekitar 30 orang belia terdiri dari ahli-ahli PEMBINA dan para pelajar IPT sekitar Nilai dan Seremban, seperti Pusat Asasi UIA dan Universiti Sains Islam Malaysia telah menyertai rehlah tersebut. Antara matlamat utama rehlah ialah menyuburkan ukhuwwah fillah dan berkenalan dengan rakan-rakan PEMBINA Port Dickson.

Tepat pukul 8 pagi, semua peserta sudah berkumpul di Masjid Putra Bandar Baru Nilai. Sementara menunggu waktu bertolak, masing-masing mengambil kesempatan untuk bertaa’ruf serba ringkas antara satu sama lain. Bagi membuka acara, Saudara Yasser Ariff selaku Pengerusi PEMBINA Nilai memberikan sedikit taklimat untuk menerangkan aturcara program bagi pengetahuan para peserta, dan diselit juga penerangan ringkas mengenai PEMBINA. Seusai taklimat, para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan bagi menaiki kenderaan yang disediakan pihak penganjur.

Sebelum bertolak, doa bermusafir dibacakan selaras dengan sunnah Nabi s.a.w. agar perjalanan berlangsung dengan lancar dan diberkatiNya. Konvoi rehlah mula bergerak ke Port Dickson apabila jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Sepanjang perjalanan dihiasi oleh riuh-rendah para peserta. Ada juga yang menikmati permandangan indah di luar sambil berzikir memujiNya. Kembara yang memakan masa lebih kurang 1 jam ini amatlah ‘adventurous’ kerana mengikuti jalan yang berbengkang-bengkok macam ular kena palu. Tetapi perjalanan begitu mendamaikan dengan kiri kanan jalan dihiasi ladang kelapa sawit yang hijau dan meredupkan. Subhanallah…

Konvoi tiba ke pantai Port Dickson sekitar pukul 9.45 pagi. Bayu laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa ketibaan rombongan rehlah, lantas masing-masing mengucapkan kalimah syukur kerana selamat tiba. Tanpa melengahkan masa, lokasi yang sesuai dikenal pasti dan barang-barang dipunggah turun. Para peserta ternyata tidak sabar-sabar lagi dan mula berlari-lari anak menuju ke pantai yang menggamit perasaan. Namun sebelum aktiviti rekreasi diteruskan, sedikit ucapan alu-aluan disampaikan oleh Saudara Mohd Firdaus Sabturani mewakili PEMBINA NS bagi merakamkan ungkapan ahlan wa sahlan kepada belia-belia yang hadir.

Ini diikuti dengan sesi berta’aruf secara lebih dekat, termasuk dengan ahli-ahli PEMBINA PD dan rakan-rakan Pra-Azhari yang turut hadir. Selesai ta’aruf, aktiviti fizikal dimulakan dengan pertandingan bola sepak pantai di mana masing-masing bermain dengan bersungguh-sungguh. Habis sahaja bola sepak pantai semua peserta menggempur laut pula untuk bermain polo. Hasrat yang terpendam sekian lama akhirnya tertunai jua dengan peluang bermandi-manda yang menyaksikan setiap orang  mempamerkan aksi hebat masing-masing. Alhamdulillah program berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah walaupun cuaca pada mulanya hujan serta berangin kencang.

Selesai mandi-manda, semua peserta kembali ke tepi pantai walaupun ternyata ramai yang masih belum puas. Sudah penat beraktiviti, perut pasti terasa lapar. Menu nasi berlaukkan ayam panggang bbq sebagai santapan tengahari cukup membuka selera. Setelah makan, rombongan bersiap-siap untuk ke Masjid Port Dickson yang berdekatan untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Zuhur. Seusai solat, para belia ’dihidangkan’ dengan slot tazkiraj ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Umair Norkefli dari PEMBINA PD. Pengisian yang disampaikan menyentuh peranan belia pada masa sekarang, di mana beliau menegaskan bahawa para belia harus bertindak melawan arus bukan dihanyut arus. Beliau juga menyelitkan beberapa nasihat dan peringatan yang membangkitkan semangat dalam diri peserta.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Selesai sesi tazkirah, semua peserta rehlah bersalaman dengan rakan-rakan PEMBINA PD sebelum bergerak untuk pulang semula ke Nilai, walaupun masing-masing agak keberatan untuk balik. Alhamdulillah konvoi selamat tiba di Masjid Putra BBN sekitar pukul 4.30 petang. Masing-masing bersalaman dan bersurai menandakan tamatnya rehlah kali ini. Jika dilihat secara kasar, program tersebut telah dapat mencapai matlamatnya secara keseluruhan bagi mendekatkan belia dengan PEMBINA. Diharapkan belia-belia yang hadir akan dapat bersama lagi di program-program PEMBINA pada masa hadapan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan rehlah ini. ALLAHUAKBAR!!!

Nukilan: Wan Khubaib Akram Wan Jaffree,
Penuntut Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa, Nilai.

Posted on 28 June 2009, in Aktiviti. Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. Ahmad Sofiuddin

    aqram tu kwn saye..sy satu dorm..hihihi..:)

  2. Saudara Ahmad Sofiuddin pun boleh join aktiviti-aktiviti PEMBINA N9 sekali. Jom! Bersama Membina Belia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: