Ahli-ahli PEMBINA NS Kongsi Ilmu di Seminar Motivasi Peperiksaan


Mengakar ukhuwwah, merimbun dakwah, melakar sejarah!!! Itulah yang telah dibuktikan oleh ahli-ahli Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Negeri Sembilan pada 9 Ogos 2009 yang lalu. Bertunjangkan tenaga daripada 5 orang wakil PEMBINA NS, satu program motivasi peperiksaan untuk para pelajar sekolah rendah dan menengah telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seremban dan Jawatankuasa Surau As-Salam. Program yang diketuai oleh saudara Mohd Muntaziri ini telah berlangsung di Surau As-Salam, Taman Panchor Jaya, Seremban.

Objektif utama program ini adalah bagi berkongsi ilmu dan pengalaman bersama kira-kira 35 orang pelajar yang tinggal di sekitar Taman Panchor Jaya seiring dengan hasrat untuk membantu mereka bagi menghadapi peperiksaan terutamanya UPSR, PMR dan SPM. Di samping itu untuk membuka minda adik-adik tersebut tentang tuntutan menimba ilmu menurut neraca Islam serta perancangan masa hadapan. Tidak kurang pentingnya adalah untuk memperkenalkan dan mempromosi PEMBINA sebagai wadah generasi belia kepada penduduk setempat amnya dan para pelajar khususnya.

Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan pendaftaran para peserta, seterusnya disusuli dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi Surau As-Salam dan Setiausaha ISMA Seremban. Selepas taklimat keseluruhan program, slot pertama yang bertajuk “Kejayaan Dalam Genggaman Jika…” telah disampaikan kira-kira pada jam 9.30 pagi. Slot yang dibentangkan oleh saudara Mohamad Hazizie dan Mohd Muntaziri, kedua-duanya merupakan penuntut di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Nilai ini berlangsung sehingga jam 10.45 pagi.

Setelah berhenti sebentar untuk minum pagi, program disambung dengan  slot “Teknik Menjawab Soalan” oleh saudara Muhammad Mabrur dan Mohd Nor Adzim pada jam 11.15 dan mengambil masa kira-kira sejam. Kedua-dua ahli PEMBINA ini kini sedang meneruskan pengajian mereka di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Slot terakhir untuk seminar motivasi peperiksaan ini ialah sesi bengkel yang telah dikelolai oleh saudara Julaibeeb dan berakhir pada jam 1.00 petang. Program bersurai selepas masing-masing menunaikan solat Zuhur berjemaah.

Peluang yang diperolehi ini juga tidak disia-siakan oleh ahli-ahli PEMBINA dengan sekadar berkongsikan petua-petua untuk menghadapi peperiksaan, tetapi dimanfaatkan sebaiknya untuk menonjolkan kepada adik-adik tentang kesyumulan Islam yang merangkumi segala aspek kehidupan, termasuk dalam aspek menuntut ilmu. Sekaligus membuktikan bahawa Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya agar sentiasa berusaha dan menggunakan segala nikmat yang dikurniakan untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Dalam masa yang sama, program sebegini menjadi medan untuk menyemai benih-benih dakwah dalam diri generasi muda bagi menjadi penyambung legasi dakwah Islam yang didokong oleh PEMBINA. Hal ini bagi memastikan usaha-usaha dakwah yang dilakukan selama ini tidak terhenti begitu sahaja kerana sesungguhnya generasi muda adalah satu aset yang berharga dalam menentukan jatuh bangun dan berjayanya sesuatu tamadun itu. Semoga ahli-ahli PEMBINA NS terus bersemangat untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Disediakan oleh:
Mohamad Hazizie B. Sulkafle,
Penuntut Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Nilai

Posted on 18 August 2009, in Aktiviti. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: