Memahami Hakikat Kemerdekaan


Merdeka

Salam kemerdekaan buat belia dan beliawanis.

Alhamdulillah, sekali lagi kita sebagai warga Malaysia berpeluang untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang tercinta, buat kali ke-52 untuk tahun ini. Lebih menarik, tarikh 31 Ogos kali ini diraikan dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak yang agung dan penuh keberkatan. Bulan yang menuntut kita ‘memerdekakan’ diri daripada ikatan hawa nafsu dan hasutan jahat syaitan, agar seluruh fokus sepanjang Ramadhan tertumpu kepada pengabdian mutlak untuk Allah swt.

Seperti biasa pelbagai bentuk sambutan dapat dilihat di kalangan masyarakat yang tidak ingin ketinggalan menzahirkan rasa gembira masing-masing atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi. Laungan ‘Merdeka’ beramai-ramai adalah acara wajib setiap kali berlangsungnya sambutan kemerdekaan. Ramai juga yang menyahut seruan untuk mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di halaman rumah atau kenderaan. Selain itu, ada yang mengadakan konvoi berkereta atau bermotosikal merentas jalanan sambil membawa bendera Malaysia. Sebilangan lagi berhimpun untuk menghitung detik 12 tengah malam di samping menyaksikan persembahan hiburan yang disedikan.

Apa jua bentuk sambutan ulangtahun kemerdekaan yang disaksikan, perkara yang ketara ialah penglibatan golongan muda-mudi sebagai kelompok majoriti. Seolah-olah mereka adalah golongan paling bersemangat dalam menghayati sejarah pembebasan tanahair daripada cengkaman penjajah. Jika benar demikian, alangkah baik. Namun wajar rasanya kita lontarkan satu persoalan kepada seluruh belia tentang makna dan hakikat kemerdekaan pada perspektif mereka. Pemahaman yang sahih ini penting dalam memastikan kesinambungan pengisian negara Malaysia yang merdeka.

Belia dan beliawanis sekalian,

Istilah kemerdekaan seringkali disinonimkan dengan kebebasan. Dalam konteks kenegaraan, sebuah negara yang merdeka bebas daripada penguasaan kuasa luar dan mampu wujud tanpa bergantung kepada orang lain. Cuba renungkan, adakah negara kita sudah merdeka sepenuhnya ataupun tidak? Benar, penjajah Barat sudah 52 tahun meninggalkan tanahair kita namun sistem-sistem ciptaan mereka masih lagi tersergam megah dan menjadi anutan, sama ada kita sedar atau tidak. Sistem ekonomi, sistem pendidikan, perlembagaan, undang-undang, sistem kehakiman, bahkan sistem kehidupan secara umumnya merupakan warisan peninggalan lampau penjajah.

Dari perspektif individu pula, rata-rata menakrifkan kemerdekaan sebagai kebebasan seseorang untuk bertindak menurut apa sahaja yang dikehendaki, baik dari segi pemikiran, menyuarakan pandangan, bertindak, berekonomi, pemilikan harta dan lain-lain lagi. Pandangan seperti ini sebenarnya berkiblatkan kepada fahaman individualisme dan liberalisme acuan Barat. Sebagai umat Islam, sudah semestinya kita menilai erti kemerdekaan menurut neraca Al-Quran dan As-Sunnah, agar kita berhasil memiliki sebuah kemerdekaan yang hakiki.

Kemerdekaan bukan semata-mata kebebasan fizikal daripada penjajahan manusia, bahkan juga kebebasan akal fikiran dan akidah daripada dibelenggu oleh fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam. Belum merdeka namanya jika Al-Quran dan As-Sunnah dipinggirkan daripada pentas kehidupan. Belum merdeka namanya jika nilai-nilai akhlak dan budi bahasa semakin hancur dimamah kemajuan. Belum merdeka namanya jika anak bangsa kita masih bergelumang dengan masalah jenayah dan sosial yang meruncing. Belum merdeka namanya jika maruah dan jatidiri umat terus terhakis.

Belia dan beliawanis sekalian,

Erti kemerdekaan hakiki menurut Islam telah disimpulkan dengan setepatnya menerusi ungkapan seorang Sahabat Nabi saw bernama Rabi’e bin Amir semasa bertemu Panglima Parsi yang bernama Rustam: “Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kami (umat Islam) untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama hamba kepada menghambakan diri kepada Allah Yang Maha Esa, (mengeluarkan manusia) daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan (mengeluarkan manusia) daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam.”

Sememangnya menjadi hasrat PEMBINA untuk melahirkan generasi belia dan beliawanis yang berjiwa merdeka. Belia merdeka yang meletakkan Allah swt sebagai matlamat, Rasul sebagai ikutan, serta Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan kehidupan. Belia merdeka yang bersih fikirannya dari sebarang unsur negatif, mengamalkan cara hidup yang sihat, berakhlak mulia, mampu berdikari, memiliki wawasan yang jitu dan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat. Inilah generasi belia yang diperlukan oleh negara bagi mengisi tuntutan kemerdekaan dan mempertahankannya daripada ancaman dalaman dan luaran.

Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak PEMBINA Negeri Sembilan ingin menyeru sahabat-sahabat khususnya para belia dan beliawanis sekalian untuk menghayati semula makna dan hakikat kemerdekaan yang dikecapi,  agar kita dapat menilai sejauh mana pencapaian kita selepas 52 tahun bebas daripada belenggu penjajah. Pada masa yang sama, manfaatkanlah bulan Ramadhan yang sedang dilalui untuk mendidik hati kita supaya merdeka daripada cengkaman nafsu dan godaan syaitan. Semoga Ramadhan tahun ini menjadi titik tolak untuk kita membina bangsa dan negara yang benar-benar merdeka, insya Allah.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan dan Salam Ramadhan Al-Mubarak.

Photobucket
Mohd Firdaus Sabturani,
Pengerusi,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Negeri Sembilan

Posted on 31 August 2009, in Minda Pimpinan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: