Seminar ‘Di Ambang Ramadhan’ Suntik Semangat Hadapi Tetamu Agung


Bersempena dengan kedatangan bulan agung Ramadhan al-Mubarak, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Negeri Sembilan telah menganjurkan satu Seminar Kepimpinan Belia pada 15 Ogos 2009 yang lepas bertempat di Dewan Kuliah Masjid Putra, Bandar Baru Nilai. Menjunjung tema ‘Di Ambang Ramadhan’, program ini bertujuan untuk menyuntik semangat dan memberikan bekalan kepada para peserta untuk meraih sepenuh manfaat daripada bulan Ramadhan yang sarat dengan ganjaran pahala berlipat ganda. Kira-kira 80 orang belia dan beliawanis daripada IPT-IPT sekitar Nilai, Seremban dan Port Dickson telah menghadiri seminar ini.

Seminar Kepimpinan Belia ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Saudara Mohd Firdaus Sabturani selaku Pengerusi PEMBINA NS, diikuti dengan tayangan multimedia. Majlis kemudian diambil alih oleh penceramah undangan yang pertama iaitu Ustaz Mohd Soberi bin Awang, Ketua Biro HRD ISMA Port Dickson. Bersandarkan tajuk ‘Ramadhan Yang Lebih Bermakna’, beliau telah mengupas mengenai objektif-objektif pensyariatan puasa Ramadhan dan fiqh-fiqh yang berkaitan. Para hadirin juga dihidangkan dengan langkah-langkah praktikal yang seharusnya diamalkan bagi merebut ganjaran kebaikan yang disediakan sepanjang Ramadhan. Ceramah diakhiri dengan membuka peluang kepada peserta-peserta untuk melontarkan sebarang kemusykilan kepada Ustaz Soberi.

Jika slot pertama seminar lebih tertumpu kepada pengisian berbentuk teori, slot yang seterusnya pula mengajak para belia dan beliawanis untuk memperincikan tindakan-tindakan praktikal yang ingin dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan yang akan datang. Dikendalikan oleh Saudara Omar bin Kassim (Setiausaha ISMA Seremban), slot berformatkan perbincangan dalam kumpulan ini memerlukan setiap peserta untuk menyenaraikan visi dan misi Ramadhan yang ingin dicapai serta langkah-langkah untuk menyemarakkan keberkatan Ramadhan di kalangan ahli keluarga, teman-teman serumah dan rakan-rakan sepengajian. Program kemudian berhenti seketika untuk memberi laluan bagi makan tengah hari dan solat Zohor.

Seminar Kepimpinan Belia ‘Di Ambang Ramadhan 1430H’ disambung dengan acara kemuncak iaitu slot ceramah oleh Ustaz Abdul Halim bin Abdullah, Naib Presiden I ISMA. Beliau mengupas tajuk ‘Di Sini Kita Bermula’ yang membawa para peserta untuk merenung perjalanan sejarah umat Islam termasuk zaman kegemilangan dan kejatuhan empayar Islam dahulu. Ustaz Halim turut menyentuh tentang peranan-peranan yang perlu dilaksanakan oleh setiap belia dan beliawanis untuk mengembalikan kedudukan umat pilihan Allah swt ini di tempat yang selayaknya. Penyampaian beliau yang tegas dan bersemangat begitu mengesani jiwa-jiwa yang hadir.

Pengisian oleh Ustaz Halim tersebut telah mengakhiri seminar kali ini. Menjadi harapan PEMBINA NS agar program ini berjaya menyuntik semangat para peserta untuk lebih bersedia menghadapi kedatangan Ramadhan di samping memiliki gambaran yang jelas tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menghidupkan bulan Lailatul Qadar ini bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan juga bersama keluarga dan sahabat handai masing-masing.  Semoga kita semua keluar daripada Ramadhan nanti dengan ijazah ketakwaan, sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas umat terdahulu daripada kamu agar kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah: 183).

Posted on 3 September 2009, in Aktiviti. Bookmark the permalink. 1 Comment.

  1. alhamdulillah…
    satu usaha yang baik yg diaturkn pembina n9 utk persediaan hadapi ramadhan…
    ana dapat merasai perbezaan rmadhan pada tahun ini berbanding sebelumny…
    namun begitu dharap pada masa hadapan pembina lebih byk mengadakn aktvti di spnjg bulan ramadhan bg memeriahkan lg bulan mulia ini…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: