Ahli-ahli PEMBINA Tunjuk Keprihatinan Melalui Program Semaian Kasih


Ramadhan adalah bulan pesta ibadah untuk hamba-hambaNya yang  sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt. Namun, apa yang menyedihkan kita ialah ada juga segelintir masyarakat yang tidak mengambil peluang yang terhidang  dan tidak menghormati kemuliaan bulan agung ini dengan mengadakan ‘pesta-pesta’ yang melanggar syarak, sekaligus menimbulkan kerisauan kita dengan kondisi umat ini. Tetapi kita beruntung kerana masih ada lagi golongan yang prihatin terhadap umat ini. Program Semaian Kasih 2009 yang telah berjaya dianjurkan pada 12 September 2009 bersamaan 22 Ramadhan 1430H yang lalu oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seremban dan turut disertai oleh ahli-ahli PEMBINA Negeri Sembilan adalah contoh terbaik  keprihatinan ini.

Ahli-ahli PEMBINA NS

Ahli-ahli PEMBINA NS  yang turun padang.

Program Semaian Kasih 2009 yang bertemakan ‘Memupuk Keprihatinan Sejagat’ ini merupakan tahun ketiga bagi ISMA berbakti kepada masyarakat terutama mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian. Program ini memfokuskan kepada pesakit-pesakit hospital, golongan fakir miskin dan yang terkini adalah saudara-saudara baru (muallaf). Selain menyedarkan masyarakat peri pentingnya kita mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan, program juga bertujuan mengajak masyarakat untuk menyumbang terutama dalam bulan yang mulia ini. Allah swt mengurniakan kita rezeki yang sebahagiannya perlu dikongsikan bersama mereka yang memerlukan. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud,  “Siapa yang tidak mengasihi manusia, tidak dikasihi Allah” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Seperti dua tahun yang sebelumnya, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban telah menjadi lokasi pilihan untuk melaksanakan program ini. Ahli-ahli PEMBINA NS turut sama turun padang bagi menunjukkan keprihatinan di samping menghulurkan sumbangan. Ternyata pengalaman berharga yang dilalui bersama golongan yang kurang bernasib baik ini begitu menimbulkan keinsafan dalam diri.  Cuma pada tahun ini, pihak HTJ telah menghadkan wad  yang boleh diziarahi sebagai langkah keselamatan daripada penyakit H1N1. Walau bagaimanapun, program ini tetap berjaya di mana wakil pihak HTJ iaitu Puan Kalsom telah mengucapkan penghargaan kepada ISMA dan berharap agar Program Semaian Kasih ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang, Insya Allah.

Sumbangan untuk para pesakit

Bersedia untuk mengagihkan sumbangan.

Oleh itu, PEMBINA NS menyeru kepada para belia dan beliawanis agar berusaha untuk meningkatkan keprihatinan kita kepada golongan masyarakat yang kurang berupaya dan sangat memerlukan bantuan melalui program-program kebajikan dan kemasyarakatan seperti Program Semaian Kasih ini. Libatkanlah diri sama ada dari segi sumbangan harta, wang ringgit, masa, tenaga, buah fikiran dan sebagainya. Mungkin sumbangan kita tidak mencapai ribuan ringgit apatah lagi jutaan, tetapi ketahuilah bahawa Allah swt melihat ketaqwaan kita dalam mengerjakan ibadah kepadaNya. Sebagaimana firmanNya yang bermaksud, “Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti” (Al-Hujurat: 13).

Keprihatinan Sejagat, Membawa Rahmat!

Nukilan: Mohd Nor Adzim Shaari,
Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.

Posted on 5 October 2009, in Aktiviti. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: