Ramai, Namun Biarlah Bernilai


Taburan Muslim

Salam ukhuwwah buat belia dan beliawanis.

Baru-baru ini satu laporan telah dikeluarkan yang menyatakan bahawa jumlah penganut agama Islam di seluruh dunia kini sudah mencecah angka 1.57 billion, atau kira-kira satu perempat daripada keseluruhan populasi global. Perangkaan terbaru ini diperolehi hasil daripada kajian Pew Forum on Religion and Public Life (Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam), sebuah badan ’think-tank’ yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Kajian yang memakan masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan beberapa dapatan dan fakta yang menarik mengenai taburan penduduk Islam di dunia. Contohnya, satu perlima daripada keseluruhan penganut Islam tinggal di negara-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam. Ini termasuk Rusia yang didapati mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya. Bahkan Jerman juga mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon.

Perkembangan positif ini jelas membuktikan penerimaan masyarakat di seantero dunia terhadap agama Islam meskipun pelbagai fitnah dan tohmahan telah cuba dilontarkan oleh musuh-musuh Islam. Dengan jumlah penganut yang meliputi 25% daripada keseluruhan penduduk dunia, kewujudan umat Islam di pentas global cukup signifikan dan suara mereka sama sekali tidak boleh dipinggirkan.

Dalam arus persaingan kuasa dan pengaruh hari ini, bilangan penganut yang ramai ini dilihat sebagai satu aset kekuatan yang amat berpotensi untuk menjadikan umat Islam sebagai satu bangsa yang dominan. Sekiranya 1.57 billion individu ini mampu bersatu di atas satu matlamat, nescaya umat Islam berupaya untuk bangkit sebagai satu kuasa pendesak atau pengimbang kuasa kepada negara-negara besar yang lain.

Malah sebenarnya nisbah seorang muslim bagi setiap empat orang tersebut sudahpun melebihi syarat kemenangan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. iaitu seorang muslim (yang sabar) kepada sepuluh orang kafir. Ukuran kekuatan berasaskan bilangan ini sekaligus menunjukkan kepentingan nilai kuantiti dalam konteks perjuangan dakwah Islam. Hal ini terkandung di dalam firmanNya yang bermaksud:

”Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti” (Al-Anfaal: 65).

Jika diukur dari segi nilai kuantiti, memang benar umat Islam memiliki kekuatan yang cukup ampuh. Namun bilangan semata-mata bukan jaminan mutlak untuk meraih kemenangan sebagaimana acapkali dibuktikan oleh sejarah. Allah s.w.t sendiri selain meletakkan kayu ukur kekuatan dari segi kuantiti, turut menggariskan kriteria atau kualiti seorang muslim yang mampu berhadapan sepuluh orang musuh iaitu dia mestilah seorang mukmin yang sabar.

Belia dan beliawanis sekalian.

Di sini saya ingin mengajak anda semua untuk sama-sama menilai kekuatan dan kualiti umat Islam dalam segenap aspek. Proses penilaian atau muhasabah ini penting untuk kita mendapat gambaran kekuatan umat Islam yang sebenar hari ini, supaya unsur-unsur kekuatan dapat dimanfaatkan sebaiknya sementara unsur-unsur kelemahan dapat diperbaiki mutunya.

1) Kekuatan politik – Umat Islam kini diibaratkan seperti ’anak ayam kehilangan ibu’ selepas jatuhnya khilafah Islamiyyah pada tahun 1924. Setelah itu wilayah Islam terpecah menjadi negara-negara kecil yang terpisah dari sudut geografi, pentadbiran dan identiti. Pergolakan politik merupakan senario biasa di kebanyakan negara Islam. Di sesetengah negara pula, golongan bukan Islam yang menguasai pentadbiran dalaman negara sementara pemimpin Islam sekadar menjadi boneka.

2) Kekuatan ekonomi – Negara-negara Islam khususnya di Asia Barat merupakan negara yang terkaya di dunia dengan pelbagai sumber ekonomi. Namun segala kekayaan ini seringkali dieksploitasikan oleh golongan bukan Islam akibat tiadanya kepakaran mahupun kemahuan untuk membangunkan sendiri sumber ekonomi yang melimpah ruah ini. Di kebanyakan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, pencapaian ekonomi umat Islam masih jauh ketinggalan.

3) Kekuatan ilmu dan teknologi – Sejarah menukilkan bahawa para cendekiawan Islam adalah pelopor kepada ilmu-ilmu moden seperti kejuruteraan, perubatan, astronomi, fizik, kimia, matematik, ekonomi dan sebagainya. Namun kini umat Islam jauh ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan hingga sekadar menjadi penuntut kepada pakar-pakar bukan Islam di negara-negara bukan Islam. Umat Islam juga lebih selesa menjadi pengguna teknologi semata-mata, bukannya peneroka teknologi baru.

4) Kekuatan budaya – Sejak era Ghazwatul Fikr lagi, Barat telah berusaha menyogokkan nilai-nilai dan budaya jahiliyyah kepada umat Islam melalui pelbagai mekanisme seperti pendidikan, media massa dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memalingkan umat Islam daripada cara hidup Islam yang sebenar. Implikasi yang dapat dilihat ketika ini ialah keterlarutan umat Islam dengan unsur-unsur hiburan yang melalaikan, sekaligus menjauhkannya daripada ruh jihad dan perjuangan memartabatkan Islam.

5) Kekuatan ketenteraan dan persenjataan – Umat Islam hari ini bukan saja diserang hebat dari segi budaya dan pemikiran, bahkan musuh-musuh Islam turut menekan sesetengah negara Islam dengan menggunakan kekuatan ketenteraan atas alasan memerangi ’terrorisme’. Kebanyakan negara Islam juga masih lagi memiliki kebergantungan terhadap kuasa-kuasa Barat sama ada dari aspek tenaga ketenteraan dan teknologi persenjataan.

6) Kekuatan ukhuwwah – Kesatuan umat Islam semakin terhakis oleh perasaan kebanggaan yang berpaksikan kenegaraan, kebangsaan, kedaerahan serta kesukuan yang telah membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama sendiri. Musuh-musuh Islam pula telah berjaya memprogramkan mentaliti dan rutin kehidupan orang-orang Islam agar disibukkan dengan keperluan diri sendiri sehingga hilang keprihatinan terhadap saudara-saudara seIslam di sekeliling mereka.

7) Kekuatan akhlak – Sistem kehidupan jelmaan Barat yang dipraktikkan oleh umat Islam telah mengundang kepada krisis keruntuhan akhlak yang begitu kritikal. Orang-orang Islam seolah-olah sudah hilang sensitiviti terhadap prinsip-prinsip akhlak Islam, sehingga tidak mampu membezakan antara kebaikan dan kemungkaran. Lebih merisaukan ialah berleluasanya unsur-unsur maksiat dan penzinaan yang dikhuatiri akan menghancurkan generasi Islam pada masa hadapan.

Berdasarkan analisa kekuatan dan kelemahan di atas, dapat disimpulkan bahawa umat Islam hari ini mungkin gah dari segi nilai kuantiti tetapi rapuh dari segi nilai kualiti. Justeru tidaklah menghairankan jika umat Islam ketika ini ketinggalan dalam arus persaingan dengan bangsa-bangsa yang lain. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat r.a. tentang umat akhir zaman yang bermaksud:

”Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, ”Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab,”Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, ”Apakah al-wahn itu, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab, ”Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Dawud dan Ahmad).

Belia dan beliawanis sekalian.

Pelbagai simptom boleh dikenalpasti terhadap kelemahan umat Islam masa kini seperti cintakan dunia, malas berusaha, tiada wawasan hidup, gemarkan keseronokan, hasad dengki, kecetekan ilmu, muflis akhlak, gila kuasa, pentingkan diri sendiri dan sebagainya. Namun pada hakikatnya, akar umbi kepada masalah ini adalah berpunca daripada kelemahan jiwa umat Islam yang tandus daripada nilai-nilai keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Justeru apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah membina semula kekuatan umat Islam bertunjangkan keutuhan iman dan akidah yang berpaksikan ajaran Islam yang sebenar menurut neraca Al-Quran dan As-Sunnah. Tiada guna kita bermegah dengan angka 1.57 billion yang besar tetapi nilainya tidak seberapa. Bak kata Syakib Arsalan Rahimahullah, seorang da’i ulung yang hidup di zaman kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah:

”Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan Palestin. Penulis-penulisnya mencadangkan agar diadakan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang Khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun seperti biasa aku akan menjawab: ”Kita wajib memulakan usaha Islam ini dari bawah, iaitu melalui TARBIYYAH INDIVIDU. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu kami mengumpulkan angka-angka kosong?”

Dari satu sudut kita sememangnya berbangga dengan bilangan penganut Islam yang besar dan tetap berterusan dengan kerja-kerja dakwah untuk menarik lebih ramai manusia kepada hidayah Islam. Namun yang lebih penting lagi ialah usaha-usaha pembinaan dan pentarbiyyahan peribadi-peribadi muslim yang berkualiti, khususnya di kalangan belia dan beliawanis untuk mengembalikan semula kedudukan Islam di persada yang selayaknya.

Semoga Islam kembali memimpin dunia.

Photobucket
Mohd Firdaus Sabturani,
Pengerusi,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Negeri Sembilan

Penduduk Islam dunia kini 1.57b

NEW JERSEY 8 Okt. – Penduduk Islam di dunia kini berjumlah 1.57 bilion, nisbah satu kepada empat orang penduduk dunia, menurut satu laporan komprehensif, semalam.

Laporan oleh Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam itu menyediakan satu angka tepat yang sebelum ini jumlahnya hanya dianggarkan.

Projek yang mengambil masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan kenyataan-kenyataan yang mungkin mengejutkan.

Sebagai contoh, Jerman mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon; China mempunyai lebih ramai penduduk Islam daripada Syria dan Rusia pula mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya.

“Andaian yang menyatakan bahawa Islam adalah Arab dan Arab adalah Islam, ternyata tidak benar dengan adanya laporan ini,” kata Amaney Jamal, penolong profesor politik di Universiti Princeton yang mengkaji semula salinan awal laporan itu.

Pegawai-pegawai Pew menganggap laporan tersebut adalah yang paling lengkap dalam kategorinya dan meletakkan agama Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia selepas Kristian, yang dianggarkan mempunyai antara 2.1 bilion hingga 2.2 bilion penganut.

Laporan itu turut mendapatkan pecahan antara pengikut mazhab Sunni dengan Syiah tetapi kesulitan timbul kerana tidak banyak negara membuat pecahan seumpamanya, kata penyelidik kanan projek, Brian Grim.

Maka, bilangan pengikut Syiah tidak dianggap khusus dengan laporan menganggarkan Syiah mewakili antara 10 dan 13 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia, yang sejajar atau sedikit rendah berbanding kajian-kajian lain.

Sebanyak 80 peratus pengikut Syiah tinggal di empat negara iaitu Iran, Pakistan, India dan Iraq.

Laporan turut mendedahkan bahawa meskipun nadi Islam terletak di Asia Barat, bilangan terbesar umat Islam adalah di Asia iaitu meliputi lebih 60 peratus.

Asia Barat dan Afrika Utara hanya mewakili kira-kira 20 peratus umat Islam, 15 peratus di Afrika Sub-Saharan, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.

Seramai 317 juta penduduk Islam atau satu per lima daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam pula tinggal di negara yang penduduknya bukan majoriti Islam.

Sebanyak 10 negara telah disenarai mempunyai penduduk dua per tiga beragama Islam iaitu Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Iran, Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Nigeria. – AP

Sumber: Utusan Malaysia Online

Posted on 18 October 2009, in Minda Pimpinan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: