Hentikan Keganasan: Kenyataan Rasmi PEMBINA mengenai Tragedi Demostrasi di UPSI


Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) merasa kesal dengan tragedi buruk yang berlaku antara polis dan sekumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tg. Malim pada awal pagi 1 Januari 2012.

Difahamkan sekumpulan 60 mahasiswa telah berkumpul untuk membantah dan menyeru pemindaan AUKU serta menuntut pengguguran hukuman UPSI ke atas Adam Adli. Setelah diberi ruang untuk berucap, mahasiswa yang enggan bersurai dilaporkan telah berdepan dengan penahanan dan tindakan bersurai secara kasar oleh pihak polis. Akibat insiden tersebut, 2 orang dilaporkan cedera termasuk Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan Anang, penganjur perhimpunan tersebut, manakala 17 lagi siswa ditahan di lokap dan kemudiannya dibebaskan petang tadi.

PEMBINA berpendirian bahawa sebarang bentuk kekasaran atau reaksi melampau dari mana-mana pihak adalah tidak perlu dalam apa jua keadaan. Sebarang bentuk provokasi juga adalah tindakan yang tidak berhemah dalam keadaan demonstrasi yang cukup tegang.

Dalam hal ini, UPSI sepatutnya mampu untuk berperanan lebih sebagai institusi pengajian tinggi yang matang, dimana pihak UPSI sepatutnya berinteraksi dan berunding  dengan pelajar-pelajar ini dan tidak semata-mata berlepas tangan dengan menyerahkan urusan mereka kepada polis dan anggota keselamatan.

Amat mengejutkan juga bahawa polis tergamak mengambil tindakan kasar ke atas mahasiswa yang akhirnya menyebabkan keadaan bertambah buruk. Tindakbalas ini bertentangan dengan peranan polis sebagai badan penjaga keamanan negara. Polis sepatutnya menggunakan kebijaksanaan dalam mengawal mahupun menghadapi kemarahan mahasiswa yang sedang berdemonstrasi, bukan bertindak ganas dan menghilangkan rasa hormat mahasiswa terhadap pihak berkuasa.

Disamping itu, mahasiswa perlu sentiasa menjaga etika ketika melaungkan isu dan berdemonstrasi dan tidak sengaja menimbulkan provokasi terhadap polis yang boleh mengundang padah. Mahasiswa juga perlu menunjukkan kematangan dan bekerjasama untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Dalam kes ini, PEMBINA bersimpati dengan nasib mahasiswa yang terpaksa mengharungi peristiwa buruk ini lebih-lebih lagi pada malam tahun baru dan musim peperiksaan institusi pengajian tinggi.

Selain itu, golongan politik diingatkan supaya tidak menjadi batu api dan mengambil kesempatan dalam kesucian perjuangan isu mahasiswa. Mahasiswa juga mesti bersikap bijak bagi mengatasi politik sentimen dan partisan agar tidak mudah diperkuda mana-mana pihak. Mahasiswa perlu membuktikan kematangan dan kesediaan mereka untuk berjuang dalam keterbukaan berpolitik sekiranya AUKU dipinda dengan tidak mudah terikut-ikut dengan budaya provokatif dan sandiwara politik.

PEMBINA juga ingin menzahirkan kerisauan ke atas peristiwa ini yang menunjukkan tanda-tanda mahasiswa mula mengadaptasi budaya “anti-establishment”. Jika benar ini berlaku, ia adalah berita buruk, yang mana tidak kira siapa memerintah negara, jalanan akan dipenuhi dengan protes dan apa sahaja sistem yang dibuat akan sentiasa disanggah. Akibat paling buruk adalah umat Islam di Malaysia akan terus bertelagah. Tidak akan ada rahmat dalam tuntutan dan pergelutan akan menjadi norma.

Oleh yang demikian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajib menyiasat dan memperhalusi punca peristiwa berdarah ini. Mahasiswa perlu diberikan hak untuk menyatakan hujah mereka mengambil tindakan berdemonstrasi manakala pihak berkuasa juga perlu diberikan peluang untuk mempertahankan tindakan yang diambil terhadap kumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi tersebut. Sekiranya terbukti mana-mana pihak bersalah dalam hal ini, tindakan perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang. Rakyat Malaysia menuntut penjelasan di atas kejadian ganas ini, lebih-lebih lagi dalam semangat tahun baru dimana setiap warganegara mengharapkan negara yang lebih aman dan tenteram.

Oleh itu, PEMBINA menyeru agar perkara ini tidak diperpanjangkan dan diselesaikan dengan cara yang baik, waras dan bertamadun. PEMBINA berpegang bahawa jalan yang aman perlu sentiasa diutamakan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan sesama Muslim. Sentiasalah membuka pintu perbincangan kerana bersama musyawarah itu akan hadir rahmat Allah SWT yang mampu menyejukkan api kemarahan. Cabaran yang perlu dihadapi dalam memperjuangan bangsa, agama dan negara masih jauh dan panjang, dan sudah tentu golongan mahasiswa merupakan aset penting dalam melakar masa depan. Kita meyakini bahawa akhirnya Islam adalah penyelesaian yang terbaik, jauh lebih baik dari segala bentuk acuan perubahan yang disebarkan oleh Barat.

A010
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”  [49:10]

Kenyataan rasmi disediakan oleh:

Aizuddin Khalid
Naib Presiden I
Ketua Penerangan
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Posted on 2 January 2012, in Isu Semasa, Kenyataan Rasmi. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: