14 Februari dan Kristianisasi


(sumber: PEMBINA RCMP)

BERMULA menulis makalah ini, saya terus sahaja membuka laman sesawang ‘Google’ dan menaip ‘Sejarah Hari Valentine’. Saya dapati pelbagai sejarah dinukilkan untuk dikongsi bersama seluruh taifah (umat) dalam dunia maya. Saya berteleku agak lama mencari maklumat yang  menarik untuk dikongsi.

Wah, ada sesuatu yang sangat menarik perhatian saya! Rupa-rupanya sejarah penyambutan Hari Valentine juga mempunyai pelbagai versi dan pendapat. Saya tertawa apabila memikirkan sejarah Hari Valentine juga seakan-akan mempunyai pelbagai ‘mazhab’ seperti agama suci Islam. Pendapat itulah, pendapat inilah. Versi itulah, versi inilah. Sememangnya tidak salah kita mengambil tahu kesemua pendapat yang dinyatakan untuk diambil pengajaran mungkin. Cuma saya lebih berminat melihat betapa ghairahnya segelintir umat Islam, terutamanya pasangan yang belum berkahwin mengagung-agungkan hari golongan Kristian – Hari Valentine.

Fitrah manusia, saling menyukai antara satu sama lain yang berlainan jantina. Lelaki tertarik kepada wanita dan begitulah sebaliknya. Bahkan, haiwan juga sifatnya sebegitu. Sering sahaja mencari pasangan untuk membina rangkaian keluarga dan menggandakan spesis mereka.

Telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam surah ad-Zariyat ayat 49; Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya Kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).”

Kita perhatikan semula signifikan muasal (dasar), mengapakah golongan Kristian menyambut Hari Valentine? Mereka menyambut Valentine kerana memuji betapa kesanggupan St. Valentine mengorbankan dirinya demi agama dan kekasihnya. Rujuk http://www.pictureframes.co.uk/pages/saint_valentine.htm untuk maklumat selebihnya.

Dalam pemerhatian saya, tiada langsung ikatan hubungan antara Hari Valentine dengan agama Islam. Jadi, wajarlah Hari Valentine diharamkan untuk disambut oleh penganut Islam. Hal ini demikian, kita sebagai penganut yang sepatutnya mengamalkan cara hidup Islam secara syumul (menyeluruh) sememangnya tidak wajar meraikan perayaan mereka. Agama Islam agama a’la (tertinggi) yang paling suci. Satu-satunya jalan kebahagiaan buat selama-lamanya.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 256 Allah menegaskan; Tidak ada paksaan Dalam Agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah maha mendengar, lagi maha mengetahui.”

Ada teman yang mempersoalkan kembali. “Bagaimana pula pasangan yang sudah berkahwin? Siapa pula kita hendak menghalang mereka menyambut Hari Kekasih kerana mereka sudah punyai ikatan yang sah?” Ya, sememangnya pasangan yang sudah berkahwin tidak ditegah untuk menjalinkan hubungan ‘Romeo dan Juliet’. Namun, adalah tidak wajar jika Valentine disambut oleh umat Islam sempena memperingati St.Valentine. Kita seakan-akan meraikan mereka, iaitu golongan Kristian.

Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 85, mafhumnya; “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi.”

Tidak dinafikan, bukan golongan Islam terutamanya remaja sahaja yang ghairah menyambut hari Valentine, malah masyarakat di Jepun, China dan Korea Selatan juga meraikannya sama. Mereka bukanlah beragama Kristian seperti St. Valentine, tetapi rakyat negara mereka turut menghadiahkan kekasih mereka dengan bermacam-macam hadiah pada hari tersebut. Renunglah betapa besar pengaruh Kristianisasi dalam arus globalisasi.

Walaubagaimanapun, mengapa kita tidak mencontohi rakan-rakan di negara Arab Saudi, Pakistan dan Iran yang berusaha membanteras hari Velentine?

Di Arab Saudi, penguatkuasa agama telah mengerah para pekedai agar tidak memasarkan segala barangan yang berwarna merah sempena Valentine pada tahun 2007 dan 2008. Di Pakistan pula, Parti Jamaat-e-Islami menyeru agar perayaan Valentine diharamkan di negara mereka. Malah, delegasi ilmuwan Islam di Iran mengutuk semahunya sambutan Valentine pada awal abad ke-21 kerana sambutan tersebut bercanggah dengan agama Islam. Hinggakan pada tahun 2011, Kesatuan Pekerja Percetakan di Iran telah megeluarkan notis larangan percetakan segala barangan yang melariskan penjualan barangan sambutan Valentine.

Ketahuilah bahawa Hari Valentine merupakan salah satu daripada ribuan permainan yang direka-reka oleh pihak gereja yang berangan-angan menggenggam kuasa dunia. Sekonyong-konyong mereka mahu mengeruhkan ‘keputihan’ agama Islam yang menjaga erat pergaulan antara lelaki dan perempuan. Maka, peliharalah kesucian ini.

Namun, Islam tidak melarang pasangan yang mempunyai ikatan sah menjalinkan hubungan demi kebahagiaan rumah tangga. Cumanya, jika perayaan hari kekasih disambut kerana terikut-ikut akan budaya Kristian, maka wajarlah dijauhi. Agama Islam yang utama mestilah dipahat erat-erat daripada pengaruh yang bakal merobohkan pasak akidah Islam.

Para remaja, kita sedang menggalas beban yang sangat berat di atas pundak. Bersama membangun jiwa-jiwa yang merdeka daripada ghazwul fikri (perang saraf) yang diserap perlahan oleh golongan kuffar. Allahukabar!

Anak ayam turun enam,

                        Satu mati tinggal lima;

Minta doa tetapkan iman,

                        Minta mati dalam agama.

(sumber pantun: Kurik Kundi Merah Saga)

Ahmad Syamil Adzman
Aktivis PEMBINA N.Sembilan

Posted on 14 February 2012, in Ehwal Muslimin, Isu Semasa and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: