Kita Pejuang – Soldadu Tarbiah


Imej

 

Jalur-jalur keemasan dari langit bertemperas di atas pepasir tandus. Segerombolan taifah sedang berjalan perlahan berkeadaan sehelai sepinggang. Sudah berhari-hari mereka begitu – bersusur panjang menuju ke sebuah destinasi. Kagum. Tiada rungutan terbit pada raut wajah mereka dan bibir sentiasa basah dengan zikir kepada Tuhan.

“Wahai saudaraku sekalian, bersabarlah kerana perjalanan ini merupakan tarbiah buat kita semua.” Seorang pemuda yang berjalan gagah di hadapan sekali melaung kental. Ya, tidak salah lagi lelaki itu ialah Uthman bin ‘Affan. Semangat mereka kian melonjak-lonjak untuk terus menggalas agama agung Islam di muka bumi – segerombolan khalifah yang melayarkan bahtera perjuangan.

Rentetan kisah perjalanan agung para sahabat ke bumi Habsyah ketika berada dalam ancaman kuffar di kota Makkah. Lihatlah kejayaan seorang Rasul yang membawa tarbiah Islam sebenderang mentari dan dilimpahi lagi dengan nur iman para pengikut baginda.

Renung kembali. Adakah pengamal Islam ketika itu melalui proses tarbiah yang utuh sebelum sanggup bertaruh nyawa untuk berhijrah? Tidak. Mereka hanya berjuang berbekalkan kalimah syahadah yang terbit ikhlas dari dalam sanubari. Dari mana pula datangnya semangat sekental itu? Sedangkan tarbiah oleh Rasulullah s.a.w. amat sedikit pada ketika itu kerana tentangan dahsyat daripada kaum musyrikin Makkah. Semua kesenangan ditinggalkan – dinar emas, anak-pinak, isteri dan tempat kediaman.

Dr. Jasim Muhammad Sutan menyatakan pendapat, “Rasululluah s.a.w. tidak meletakkan kadar suntikan tarbiah kepada seorang muslim sebelum mereka terlibat dalam projek-projek Islam kecuali dua kalimah kalimah syahadah. Tarbiah akan diteruskan selepas itu beriringan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku”.

Ya, ada juga kebenaran kata-kata beliau. Para sahabat yang berhijrah ke Habsyah  pada tahun kelima kenabian telah menyerah jiwa raga mereka dengan bergabung bersama Rasulullah s.a.w. selepas peperangan Khaibar pada tahun ketujuh hijrah. Jarak perpisahan mereka dengan Rasulullah s.a.w. telah mencecah 15 tahun,  namun keimanan tetap dipasak teguh dalam dada. Sedangkan kehidupan mereka di bumi Habsyah dinaungi oleh penganut beragama Kristian yang membawa budaya nonmuslim pastinya. Siapakah yang mentarbiah mereka di sana?

Pentarbiahan berlaku dalam bentuk yang tersediri kerana peristiwa demi peristiwa di Habsyah mematangkan umat Islam ketika itu. Rasulullah tidak dapat berada di sisi dalam menjalani hari sebagai kader-kader dakwah di Habsyah. Ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. juga barangkali terlalu lambat sampai kepada mereka kerana batasan jarak. Namun, sedarkah kita betapa teguh iman mereka yang berputik hanya berlandaskan pegangan kepada kalimah syahadah hinggakan mereka mampu meneruskan tarbiah di bumi Habsyah?

Renunglah intisari sejarah Islam. Wajarkah menyatakan ketidaksediaan dalam menyampaikan dakwah atau tarbiah? Sedangkan sedari kecil kita dididik dengan nilai-nilai Islam. Hendak dibandingkan kuantiti penerimaan tarbiah yang dilalui oleh kita dan para sahabat, amat jauh sekali. Sejak kecil kita mengimani Allah sebagai Tuhan semesta alam. Maka, pasti kita juga mampu melaksanakan tarbiah kepada insan lain yang lebih malang – masih belum menyedari hakikat ‘mujur tiada berbunyi, malang tiada berbau.’

Buat para pentarbiah, telingamu lebih jelas mendengar lidahmu yang melontarkan kalimah dakwah. Semasa mentarbiah orang lain, kita juga ditarbiah secara tidak langsung oleh mulut yang berbicara. Jangan cuma mengejar dapatan ilmu tetapi tidak berkongsi. Jadilah orang yang boleh bermanafaat dan dimanafaatkan. Jangan berhenti kerana kita mesti menjadi siapa-siapa bukan sesiapa pun.

Ahmad Syamil Adzman,

Aktivis PEMBINA N.Sembilan

Posted on 9 March 2012, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: