Utusan Selamat Datang


Assalamu’alaikum diutus pembuka bicara

 buat semua para pembaca,

diharap semua sihat hendaknya,

 moga post ini ada menafaatnya..

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita semua masih lagi bernafas di muka bumi Allah ini dengan dua nikmat yang terbesar dan berharga, yakni nikmat iman dan islam.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pelajar  yang baru mendaftar masuk sebagai pelajar generasi baru di Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) dan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS). Dengan kemasukan generasi baru ini, ternyata pihak USIM dan KMNS sekali lagi beroleh nikmat,  selaku salah satu tempat asuhan dan bimbingan bakal pemimpin yang bakal menggoncang dunia di masa hadapan, insyaAllah.

Dalam era globalisasi yang kian mencabar kini, 1001 macam dugaan dan cabaran yang mampu meruntun jiwa terdapat di mana sahaja. Justeru,  ketahanan dan kekebalan iman dalam diri setiap individu perlu sentiasa dititikberatkan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-ankabut ayat 2 dan 3,

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (denganujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nyaakan orang-orang yang berdusta”.

Walaubagaimanapun, selaku umat di akhir zaman ini, ternyata untuk menjadi seorang muslim sejati, bukanlah semudah yang diimpikan. Tidak terkira banyaknya dugaan dan ujian Allah  kepada kita semua, baik dari musuh – musuh Islam; yakni orang kafir, dan tidak ketinggalan juga dari kalangan umat Islam sendiri. Hal ini demikian kerana,  selaku manusia biasa, kita semua tidak mudah lari dari musuh utama dalam diri setiap individu; yakni nafsu. Natijahnya, berlakulah ketidaksepaduan dalam kalangan umat Islam sendiri yang sekaligus merapuhkannya, dan bias dihancurkan oleh musuh Islam bila – bila masa saja. Bukan itu saja, realitinya, pelbagai isu gejala negatif yang melanda para belia khususnya di zaman ini. Justeru, satu medan yang dapat menghindarkan belia daripada elemen-elemen negatif yang boleh merencatkan potensi dan jatidiri adalah amat penting saat ini.

Justeru, menyedari hakikat ini, saya selaku wakil Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) ingin mengajak bakal penggoncang dunia di masa hadapan ini semua, untuk sama – sama merenung firman Allah dalam surah al – Shaffayat 4,

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur dan rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.

Ayat diatas jelas menunjukkan bahawa Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang ini amat mengasihi hambanya yang berjihad untuk membela agamaNya dalam barisan yang teratur, atau di dalam Jemaah. Justeru, demi membangunkan jati diri belia berlandaskan kefahaman Islam yang syumul,  konsep dakwah dan tarbiyah tidak boleh dipandang enteng. Dalam hal ini, saya menyeru para belia sekalian untuk sama – sama mencintai ilmu dan menghidupkan kembali kegemilangan Islam suatu ketika dulu, dimana ilmu dan amal serta dakwah dalam diri tiap individu ibarat isi dan kuku, sentiasa seiring. Bahkan, kita juga sedia maklum, hakikatnya, setiap individu memilki bakat dan potensinya yang tersendiri.

Justeru, dalam menzahirkan kebolehan yang ada dalam diri, sememangnya satu platform atau medan alternatif untuk belia menyalurkan potensi diri adalah amat penting untuk wujud ketika ini. Hal ini juga sebenarnya secara tidak langsung bertujuan demi mengelakkan nikmat kurniaan Allah pada diri setiap belia dan individu itu terbuang ke arah yang sia – sia, dan yang paling penting, tidak diredhai  Allah. Ianya penting agar pembangunan potensi diri seiring dengan syariat dan menuju keredhaan Allah juga demi menyumbang ke arah pembangunan dan kegemilangan diri, bangsa, dan negara, serta yang paling penting, agama. Hal ini sememangnya bertepatan dengan hadith rasulullah s.a.w., “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat untuk manusia lain.”

Jika ingin menggoncang dunia,  ianya bukanlah semudah menggongcang air di dalam botol. Oleh hal yang demikian, generasi belia yang aktif, prihatin, bermatlamat dan memiliki kesedaran yang jelas tentang peranan mereka dalam kehidupan adalah amat penting untuk dididik serta dilahirkan melalui kaedah pembelajaran dan tarbiyah yang betul, sebagaimana yang telah diajar oleh kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w. Hakikatnya, di awal kemunculan Islam dahulu, dakwah rasulullah s.a.w. berlaku secara sembunyi untuk beberapa ketika  di Mekah, demi menyemai dan memantapkan aqidah dalam diri setiap muslim terlebih dahulu. Setelah itu, barulah dakwah rasulullah disampaikan secara terbuka, bermula dari dakwahnya di Bukit Safa. Kemudian, meskipun ditentang hebat oleh para musyrikin,  namun rasulullah tetap teguh dan sabar dalam menyampaikan dakwahnya, berbekalkan ketahanan diri Baginda yang agung itu serta pertolongan Allah.

Bukan itu saja, dengan bantuan muslimin lain juga,  beban rasulullah dapat diringankan, sebagai contoh, bantuan dari isteri Baginda, saidatina Khadijah dan juga saidina Abu Bakar dan Uthman yang sangat pemurah. Hasilnya, Islam menjadi gemilang serta terbilang, serta terus kekal hingga ke saat ini. Justeru, jelaslah betapa pentingnya dakwah secara berkumpulan,  dalam saling melengkapi sesame sendiri, kerana kita bukan seperti rasulullah yang maksum dan sempurna. Kita hanyalah insan biasa yang lemah dan perlu saling ingat mengingati.

Akhirulkalam, selaku wakil bagi pihak PEMBINA (Persatuan Belia Islam Nasional), sekali lagi ingin saya ucapkan tahniah kerana berjaya melangkah ke alam pra-universiti ini. Tidak dilupakan juga, semoga para generasi baru sekalian akan dapat menguasai system pembelajaran dan kehidupan yang barui ni, seterusnya akan menjulang panji-panji  islam di muka bumi ini, insyaAllah.

Sekian,

Ahmad Zahiruddin

Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional USIM

 

 

 

Posted on 4 June 2012, in Minda Pimpinan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: