Berikan Harga Pemuda


Pemuda; berapakah harganya?

Berapakah sebenarnya harga remaja

yang bersih dari gelora kecewa?

Berapakah sebenarnya harga remaja

bagai kehijauan pohon diperjalanan?

 

Dengan apakah akan kau penuhi piala remajamu?

Adakah cuka kesangsian dari cinta murah

Atau madu ajaran ilmu susah?

 

Remaja amat mahal sesungguhnya,

Tiada terbeli oleh perjanjian

Remaja amat mahal sesungguhnya,

Harga remaja,  pendirian, keberanian.

Itu bait-bait puisi Ahmad Ramli tentang remaja, atau kata pemuda juga boleh diguna pakai. Puisi ini telah dilagukan, dan ia sering menjadi pilihan kem-kem kepimpinan dan jati diri khusus untuk pemuda. Matlamatnya cuma satu, menyuntik benih kesedaran dalam diri anak muda.

Persoalannya, sejauh mana pemuda sedar mereka itu ‘berharga’? Berharga dalam erti kata yang bukan boleh ditukar ganti melalui sistem barter dengan ribuan tunai, emas, harta malah apa-apa jua pun yang berharga. Harga pemuda hakikatnya jauh lebih mahal.

Jika tidak, masakan Saidina Ali berani menyatakan;

 “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Ya, mengapakah pemuda yang disebut Saidina Ali r.a?

Pemuda Generasi Y

Nah, kita lihat hari ini. Acuan bagaimana para pemuda Islam hari ini telah terbentuk. Adakah kita sudah mampu menjangkakan, sebuah masa depan?

Hakikatnya, pemuda ‘berteknologi’ atau lebih dikenali sebagai ‘Generasi Y’ kala ini semakin tidak mengerti tentang hidup bertujuan, malah ramai yang telah jatuh dalam kancah gejala yang tidak bermoral. Generasi Y hari ini sedang diselimuti dengan selimut tebal teknologi dan tilam empuk modenisasi. Teknologi bukan lagi satu kehendak, tetapi sudah menjadi keperluan. Ya, it’s a way of life bagi Generasi Y ini. Tetapi malang, kemajuan itu telah disalah guna dan mereka juga telah dipergunakan!

Dari situ, budaya Barat tidak henti-henti meluru masuk, mahu ‘membunuh’ jiwa-jiwa ‘hijau’ ini dengan racun hedonisme, sekularisme, liberalisme dan bermacam-macam lagi. Mereka diburu dari segenap arah; pemikiran, pakaian, pergaulan, hiburan dan cara hidup. Tanpa sedar, musuh-musuh itu sering mengintai-intai segenap ruang dan peluang untuk menjauhkan pemuda Islam jauh dari landasan Islam sebenar.

Andai tiada pertahanan yang ampuh, pemuda bakal tersungkur rebah dalam semua ‘serangan’. Gagasan hidup hancur, malah hanyut dibawa arus deras globalisasi yang menyesakkan. Fenomenanya kini, ia bukan lagi asing, malah telah mendarah mendaging. Kesannya, pemuda Islam hidup dengan tidak benar-benar ‘hidup’, malah telah ‘mati’ sebelum mati. Buktinya, masih ramai yang hanya tahu menyibukkan diri dengan perkara-perkara lagha, jauh dari tujuan asalnya dia hidup.

Nah, sekarang cuba bayangkan. Bagaimanakah nanti masa depan?

Pemuda yang kuat lagi mahal

Justeru itu, pemuda Muslim harus punya jati diri yang teguh kukuh berpasakkan aqidah yang mantap. Supaya dirinya nanti mampu ‘bertahan’ ketika persekitarannya cuba menekan dan mempengaruhi dari segenap pelusuk dan arah. Supaya musuh-musuh yang cuba ‘membunuh’ dan meracuni akal fikirannya dapat ditongkah dengan sebuah benteng ampuh yang bernama iman dan takwa. Dia takut kepada Tuhannya, dia jelas tujuan hidupnya, tidak mudah tumbang ketika di’serang’ malah berusaha keras pada cita-citanya. Itulah anak muda yang sebenarnya ‘hidup’, kuat lagi mahal.

Tidak mustahil, dengan adanya barisan pemuda Muslim yang kuat ini, Islam kembali tertegak menyinar. Sejarah lalu sungguh signifikasi, di sebalik kemenangan Islam yang agung pada zaman Rasulullah s.a.w itu, ada barisan anak-anak muda yang sememangnya hebat!

Duduk sebentar, lihatlah sejarah.

Adakah kita lupa, tentang Mus’ab bin Umair? Pemuda yang memeluk Islam tatkala umurnya menjejak 18 tahun. Siapa yang tidak kenal dirinya, pemuda tampan yang digilai wanita Arab Mekah sehingga minyak wanginya sahaja sudah mampu memberitahu akan kehadirannya. Disebabkan kebenaran yang diyakininya, lantas ditinggalkannya segala kemewahan. Walaupun tentangannya adalah ibunya sendiri, yang sebelum ini sangat-sangat menyayanginya!

Kita tahu tentang Usamah bin Zaid, panglima perang termuda kesayangan Rasulullah s.a.w? Ketika itu usianya belum pun mencecah dua puluh tahun, tetapi mendapat kepercayaan yang sangat tinggi daripada Baginda.

Begitu juga Sultan Muhammad Al-Fateh, sebaik-baik raja dan mempunyai sebaik-baik tentera. Menakluk Kota Konstantinopel seawal umur 21 tahun sehingga berjaya membuktikan hadith nabi. Bergegak gempitalah seluruh umat islam ketika itu, hadith Baginda ternyata benar, wilayah Islam kian menyinar.

Pemuda-pemuda itu telah pun membuktikannya. Ternyata, barisan pemuda juga adalah penjulang panji-panji Islam satu ketika dahulu. Adakah kita tidak pernah menoleh ke belakang sebentar? Belajar dari sejarah, agar nanti kita juga bakal mencipta sejarah yang juga megah. Bukan untuk sesiapa, tetapi untuk sebuah kemenangan yang diimpikan semua masyarakat Islam terutamanya.

Ya, Islam harus tertegak, kalimah-Nya harus ditinggikan.

Tenaga siapa yang perlu dikerahkan?

Siapa lagi jika bukan pemuda.

Bermula dari dalam diri.

Tiada gunanya terus-terusan menuding jari ke arah persekitaran yang membantutkan pembinaan syakhsiah pemuda Islam. Tiada gunanya juga menyalahkan segala ‘serangan’ yang datang menghujam ke atas mereka. Hakikatnya, mereka sendiri juga harus mencetus ‘mahu’ dalam diri untuk membina benteng yang kukuh, bangun melawan nafsu dan memajukan diri. Jika di medan nafsu awal-awal sudah tumbang, bagaimanakah mahu dihantar berjuang? Sedang pemuda di ‘sana’ berperang di medan jihad, jangan sampai hanya di medan nafsu kita berperang.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”

[Ar-Ra’du 13:11]

 Apa yang penting, keyakinan, jiwa, semangat, keazaman anak muda harus dipandu oleh mereka yang lebih tua dan berilmu. Supaya keyakinannya bertunjangkan sebuah tauhid kepada Tuhannya (iman). Supaya jiwanya sentiasa bersih sehingga mampu mencapai Ikhlas dalam beramal dan bekerja. Supaya semangatnya bukan didasari emosi yang berapi-api, tetapi didasari akal. Bukan emosional, tetapi rasional selaras dengan kehendak agamanya. Supaya keazamannya mampu menghasilkan sebuah usaha yang bersungguh-sungguh dan juga tindakan yang benar.

Sungguh, ALLAH itu terlalu sayangkan pemuda yang menyerahkan dan menggunakan sepenuh usia mudanya hanya untuk Tuhannya. Benar, jalan mujahadah itu memang payah, kerana syurga bukan murah. Tetapi, tidak mustahil bukan? Muda hanya sekali. Adakah pemuda mahu melepaskan peluang ini?

 Penutup: Kerahkan tenaga pemuda.

‘Serangan demi serangan’ ke arah anak muda hari ini semakin hebat. Justeru, langkah mendidik, dan membina mereka dengan acuan Islam juga harus diperhebat, malah diperkemas dengan sebuah misi dan gagasan hidup Islam yang jelas.

Jangan dibazirkan sumber tenaga yang ada, tenaga pemuda harus dikerahkan sepenuhnya. Serlahkan dengan maksimum potensi pemuda pada bakat, fikiran dan kecenderungan yang mereka punya. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Andai kita mahu, tiada apa yang mampu menghalang melainkan hanya kuasa Pencipta.

Ya, harga pemuda ialah apa yang jarang sekali ada pada anak kecil ataupun orang tua.  Disitulah harganya. Harga pemuda ada pada keyakinannya yang teguh, semangat yang menyala-nyala, jiwa yang bersih dan keazaman yang kuat. Dan harga itu, akan semakin mahal dan mahal andai ia jelas berpandukan syariat. Itulah pemuda yang kuat lagi mahal harganya.

 “Perbaikan suatu umat tidak akan terwujud kecuali dengan perbaikan individu, yang dalam hal ini adalah pemuda. Perbaikan individu (pemuda) tidak akan berjaya kecuali dengan perbaikan jiwa. Perbaikan jiwa tidak akan berhasil kecuali dengan pendidikan (tarbiyyah) dan pembinaan. Apa yang dimaksud dengan pembinaan adalah membangun dan mengisi akal dengan ilmu yang berguna, mengarahkan hati agar sentiasa muraqabatullah dan sentiasa berdo’a, serta komited dalam proses pertarbiyyahan jiwa dan sentiasa muhasabah diri.”

[Imam Syahid Hasan Al-Banna]

Oleh: 

 Norimah bt Mt. Yusoff,
JK Media PEMBINA Negeri Sembilan.
Tahun 3, Jurusan Perakaunan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
 
*Tulisan-tulisan beliau yang lain juga boleh didapati di rimbunhijau91.blogspot.com
 
 

Posted on 30 July 2012, in Uncategorized. Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. Mmm.. saya x boleh kata 100% setuju… tapi tahniah admin atas pos
    yang membuka mata saya.

  1. Pingback: Aku pelajar oversea! - ISMA Australia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: