Pengorbanan – Asas Pembinaan Ummah


Image

 

Image

Ucapan talbiah kembali bergema di ruang udara  menandakan tirai Zulhijjah telah mula tersingkap dan kemuncak peristiwa dalam bulan suci ini pastinya penyempurnaan Rukun Islam kelima, iaitu menunaikan ibadah haji bagi umat Islam yang berkemampuan dan terpilih menjadi tetamuNya di Tanah Haram.

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari pertama dalam bulan ini diibaratkan sebagai peluang kedua yang diberikan Allah selepas Ramadhan untuk mendapatkan rahmat dan keampunanNya, selain menambah kebaikan dengan ganjaran yang berganda. Terdapat pelbagai hadis dan dalil yang menceritakan kelebihan beramal dalam hari-hari sepuluh pertama bulan ini, antaranya seperti yang disebut oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari Jilid ke 2: “Dan yang jelas di sini bahawa sebab mengapa istimewanya 10 Hari dari bulan Zulhijjah kerana ia menjadi tempat terhimpunnya  Ummahatul Ibadah padanya (أمهات العبادة), iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Semua ibadat itu tidak terhimpun  pada selain bulan Zulhijjah”.

Jika Ramadhan sering dikaitkan dengan bulan perjuangan (kerana pelbagai siri peperangan menentang musuh Islam dan jihad umat masa kini memerangi hawa nafsu), Zulhijjah pula sering dimanifestasikan sebagai bulan pengorbanan. Anekdot kekentalan survival wanita mulia bernama Siti Hajar yang ditinggalkan suami tercinta di lembah tandus Bakkah, dan ketegaran Nabi Ibrahim menyembelih anakanda kesayangan, Nabi Ismail antara kisah yang sering diulang siar oleh khatib dalam isi kandungan khutbah hari raya Aidiladha bagi menyeru sidang pendengar supaya menghayati erti sebenar di sebalik segala pengorbanan, tanda penyerahan diri secara total kepada Allah dan bersabar dalam mentaati segala perintahNya.

Sejarah pembinaan Kaabah yang didirikan kembali oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, di mana Nabi Ismail a.s berulang-alik mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s sendiri membinanya, menjadi bukti satu lagi bentuk pengorbanan yang bukan sia-sia bilamana ia tidak putus dikunjungi manusia dari seluruh pelosok dunia untuk beribadah selain turut melonjakkan kemajuan pembangunan ekonomi Kota Makkah dan kawasan sekitarnya sebagaimana yang dilihat pada hari ini.

Sebagai penutup, Allah SWT telah memuliakan kita semua dengan kedatangan bulan yang mulia ini, maka marilah kita mengambil peluang keemasan ini untuk bersungguh-sungguh mengejar erti kehidupan yang sebenar, menghayati segala ibadah yang dilakukan, menjadi hambaNya yang tahu erti syukur atas segala nikmat yang telah dikecapi hasil usaha gigih orang soleh yang berjuang sejak dahulu kala, lantas mencetuskan momentum untuk sama-sama terus gigih mencipta kegemilangan, bekal buat penyambung generasi harapan ummah masa esok.

Salam Eidul Adha 1433H!

 

Oleh:

Nur Hashimah Shamsudin,

Aktivis PEMBINA Negeri Sembilan.

Posted on 28 October 2012, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: