Selangkah ke Madrasah Ramadhan


Image

LA’ALLAKUM TATTAQUUN.

Transformasi Ramadhan di tangan kanan ditatap. Pada helaian pertama, bola mata terhenti pada tulisan hitam di sudut kanan. Tulisan jawi berangkai melukis nama sendiri. Saiz fontnya 14, mungkin. Berselang 3mm, tarikh keramat pada tahun 2011 bertanda dengan tinta yang sama. Tarikh dibelinya buku tersebut. Tanpa paksa, bibir menarik senyum. Hampir tiga tahun kitab itu jadi miliknya, dan setiap kali menjelangnya bulan mulia itu jugalah, dia akan menatap kembali buku tersebut. Menyemai feel ramadhan Kareem…

Seperti biasa, diri akan membelek-belek buku sebelum dibaca. Terhenti pada HIKMAH RAMADHAN. Menarik. Dibaca sepintas lalu. Selaju itu jugalah ruh Ramadhan cuba menakluki hati.

                                        *             *             *             *             *             *

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah difardhukan ke atas kamu sebagaimana ia telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa.”

(al-Baqarah, 2:183)

Sayangnya Allah kepada kita, diberikanNya satu bulan dalam setahun, khusus untuk kita belajar mencapai TAQWA.

Apakah yang diajar oleh puasa, agar meningkat nilai taqwa?

Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran.

Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan.

Ketika kita ada segalanya untuk dimakan, kita memilih untuk tidak makan kerana mentaati Allah. Itulah latihan. Latihan untuk berkata tidak kepada sesetengah kemahuan diri, supaya dapat meningkatkan daya kawalan diri.

                                                                *             *             *             *             *             *

Pandangan dibuang ke luar jendela. Akal sibuk menyemat TAAT ALLAH – KAWAL DIRI – TAQWA ke dalam hati. Ya! Pelajaran yang paling penting yang seringkali kita terlupa. Madrasah Ramadhan, itulah intinya. Mujahadah menundukkan nafsu agar kita mampu menggerakkan diri secara total berpandukan manual Ilahi untuk menjadi salah seorang hambaNya yang ‘aideen dan faaiziin di penghujungnya. Sebagai bekalan untuk sebelas bulan berikutnya, sebelum melangkah ke madrasah Ramadhan yang mendatang.

MADRASAH INI, ADAKAH MASIH SAMA?

Madrasah ini mungkin kelihatan sama dengan yang sebelumnya. Tapi, yakinlah ia tidak pernah sama. Seperti berbezanya hari Khamis ini dengan Khamis minggu lepas. Jadi, mahukah kita terus mengulang rutin yang sama pada setiap Ramadhan? Tahan lapar dan dahaga pada siang hari dengan tidur semata-mata, malam pula qadha makan dan minum sampai lupa tarawih dan segala…? Mampukah itu melatih taqwa? Tepuk dada tanyalah iman. Iman pastinya geleng kepala.

Diberi peluang menjejakkan kaki di daerah mulia itu sepatutnya adalah saat yang dinanti-nanti dan dirindui. Malah sering berulang dalam doa-doa agar direzekikan berdaftar ke Ramadhan yang seterusnya. Selautan karunia yang dijanjikan si Pencipta pada bulan yang satu ini dan tidak pada bulan-bulan yang lain, itulah yang ditunggu oleh manusia yang sedar pangkat ‘hamba penuh dosa’ yang disandang. Sama-sama kita renungi sabda Baginda S.A.W, seperti diriwayatkan oleh Ubadah bin Somit :

“Ramadhan datang kepada kalian, bulan yang penuh berkat, pada bulan itu Allah SWT akan memberikan naunganNya kepada kalian. Dia menurunkan rahmatNya, Dia menghapuskan kesalahan-kesalahan dan Dia kabulkan doa. Pada bulan itu Allah akan melihat kalian berlumba-lumba melakukan kebaikan. Allah SWT membanggakan kalian (di hadapan malaikatNya). Maka perlihatkanlah kebaikan diri kalian kepada Allah, sesungguhnya orang yang celaka adalah orang yang pada bulan itu tidak mendapat rahmat Allah.”

Maka perlihatkanlah kebaikan diri kalian kepada Allah… sebaris kata yang cukup memotivasikan diri untuk menabur amal sebanyak-banyaknya, bukan? Dengan janji-janji yang disenaraikan pada awalnya, sesiapa yang berakal waras, semestinya tak sanggup menolak. Setuju?

Ironinya kita pada hari ini, menanti Ramadhan bukan kerana keluasan janjiNya. Amat menyedihkan, ia diwarnai dengan pesta makan minum menu baru, menahan bubu di lubuk rezeki sehingga solat pun ditinggalkan, pertandingan hias rumah sehingga lupa makna pembaziran. Betapa pada bulan ini, semua seakan-akan berpandangan jauh. Dihazafnya Ramadhan kerana memuja Syawal. Perjalanan Ramadhan yang sepatutnya dihiasi perlumbaan dalam amal kebajikan, list perubahan yang ingin dilakukan serta lembaran al-Quran yang diulang khatam beserta pemahaman dan pengamalan, kini sudah jarang dipraktikkan. Masing-masing disibukkan dengan Syawal yang dilebih-lebihkan. Alangkah ruginya…semoga kita tidak tergolong di dalam golongan tersebut.

AKHIRUL KALAM

Sama-samalah kita bermuhasabah, berapa kali Ramadhankah telah kita jalani dengan penuh kesedaran sebagai seorang hambaNya? Adakah kita telah menyantuni Ramadhan semalam dengan sesempurna mungkin? Sudahkah Ramadhan semalam mencetak taqwa dalam diri kita, yang mengawal setiap inci gerak geri kita pada hari ini? Dalam mengejar redha Ilahi, tiada istilah ‘cukup’!

Justeru, ambillah kesempatan di Madrasah ini untuk memaknai Ramadhan dengan sebenar-benar makna seperti yang dirasai oleh golongan terdahulu, sehingga mengalir air mata melihat lambaian Ramadhan yang kian menghilang di sebalik Syawal. Bukan kerana sayunya laungan takbir raya dilantunkan tok imam, tetapi kerana mereka mengerti akan pemergian ganjaran Tuhan, yang mungkin tidak berkesempatan untuk bersua kembali tahun hadapan.

Di akhir penulisan ini, marilah bersama-sama kita;

  • Teruskan menggali ilmu, berkaitan Ramadhan khususnya, semoga momentum kebaikan akan berterusan bukan sekadar sepanjang 30hari ini sahaja, tetapi untuk menjana kekuatan dibulan-bulan berikutnya.

  • Luangkan masa untuk berkenalan dengan Ramadhan, kerana dengan perkenalan itulah lahirnya rasa cinta kepadanya. Semoga kita juga diberi kesempatan untuk mencintai Ramadhan ini seperti yang pernah dirasakan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda.
  • Tetapkan matlamat untuk dicapai sepanjang Ramadhan ini dan sentiasa refresh niat di setiap langkahan, lillahi Taala.

  • Jadilah Rabbaniyyun, bukan sekadar pengabdi Ramadhan… kerana sesungguhnya Ramadhan akan berlalu tatkala anak bulan syawal dilahirkan, tetapi Allah itu akan terus ada sebagai Penjaga kita.

<Salam Ramadhan dan Selamat Beramal>

Oleh:

Nurul Ain binti Othman,
Aktivis Pembina Negeri Sembilan,
Pelajar Tahun 3,
Sarjana Muda Bioteknologi Makanan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Posted on 10 July 2013, in Uncategorized. Bookmark the permalink. 1 Comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: