Isu PTPTN USIM, cacian dan makian bukan penyelesaian.


Isu penarikan wang PTPTN dari akaun pelajar tanpa pengetahuan mereka ternyata mencetuskan kemarahan pelajar-pelajar Universiti Sains Islam Malaysia(USIM). Berikut merupakan temubual wartawan PEMBINA bersama saudara Asyraf Amran, pelajar tahun 2, Fakulti Pengajian Bahasa Utama yang juga merupakan ahli PEMBINA.

 

 

1. Isu PTPTN sedang hangat diperkatakan terutama di laman-laman sosial seperti facebook. Bagaimanakah isu ini boleh timbul?

Isu ini berlaku apabila duit ptptn meraka ditolak secara langsung tanpa notis atau pemberitahuan untuk tujuan yuran pengajian.

2. Apakah respon mahasiswa-mahasiswa USIM terhadap isu ini?

Mereka amat tidak berpuas hati. Pelbagai cara dilakukan oleh pelajar-pelajar supaya suara mereka didengari.

3. Adakah perkara ini menjadi satu penganiaan kepada mahasiswa-mahasiswa USIM?

Ya, kerana sepatutnya pihak mereka(bendahari USIM) perlu memaklumkan atau pun membuat penjanjian bertulis. Ia umpama mengambil hak orang tanpa memberitahu walaupun tujuannya untuk melunaskan yuran pengajian.

 4. Ada mana-mana pihak yang berusaha menjernihkan keadaan?

Maksud anda, bagi menjernihkan keadaan yang boleh disifatkan tegang sekarang ini?

Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) USIM telah berusaha sedaya upaya bagi mengatasi masalah ini. Mereka telah  membuat tuntutan kepada pihak bendahari dan tuntutan tersebut akan ditepati. Pihak bendahari akan memulangkan wang pelajar selewat-lewatnya 10hb Mac ini secara berperingkat. Susulan itu, pihak bendahari akan membuat satu perjumpaan bersama pelajar-pelajar bagi menjelaskan perkara ini.

 5. Apa pandangan saudara berkenaan isu ini?

Pandangan saya, tidak wajar duit tersebut diambil tanpa keizinan pelajar kerana kita tidak mengetahui kesempitan kewangan dikalangan mereka. Berkenaan pelajar pula, sebagai seorang mahasiswa yang berlatar belakangkan agama, tidak wajar melabelkan pihak tertentu dengan cacian dan panggilan yang tidak beradab. Akhlak kita sebagai pelajar muslim adalah amat perlu dititikberatkan.

6. Apakah nasihat saudara kepada kedua-dua pihak?

Mahasiswa perlu bersikap rasional dengan menggunakan medium yang ada semaksima mugkin.Tidak perlu mengeluarkan statement yang berbentuk cacian serta fitnah terhadap USIM. Fakulti-fakulti dan jabatan-jabatan lain tidak terlibat dalam perkara ini. Ia telah menyebabkan segelintir pensyarah dan staf USIM tersinggung dengan sikap pelajar.Pelajar-pelajar juga dinasihatkan agar membelanjakan wang dengan cermat dan tidak boros.

Di pihak USIM, mereka perlu lebih efisien dan jujur serta amanah dalam menguruskan kewangan pelajar supaya perkara seperti ini tidak berulang kembali.

Advertisements

Calon-Calon Pemuda Pilihan


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang-

 “Berikanku sepuluh orang pemuda, maka akan ku goncangkan dunia..”

– Presiden Pertama Indonesia,Bung Sukarno. 

 PEMUDA.. itulah kuasa seorang PEMUDA.. mereka bukan seperti pemuda biasa-biasa, bukan juga lelaki dalam kebanyakan manusia, tetapi merekalah PEMUDA harapan BANGSA, RIJAL impian AGAMA..

“Harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!! ” (Khalifah Islam ke-2, Umar Al-Khattab)

SubhanAllah, lelaki mana yang tidak mahu bercita-cita menjadi seperti ini ?? Mustahil.. Jika mereka tiada berkeinginan untuk berusaha menjadi ke arah itu, mereka bukanlah PEMUDA yang digambarkan oleh Bung Sukarno, mereka bukanlah RIJAL yang dimahukan oleh Amirul Mukminin.. mereka hanyalah insan biasa-biasa, bukan INSAN LUAR BIASA ..

Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk [Surah Al-Kahfi, 18:13] 

Ya Allah, bukan mudah untuk menjadi PEMUDA seperti itu.. tetapi ia bukanlah satu perkara yang ganjil dan janggal dalam dunia sejarah kegemilangan ISLAM.. lihatlah Sultan Muhammad Al-Fateh, Usamah bin Zaid, Salahuddin Al-Ayyubi, Pemuda-pemuda Al-Kahfi, Saidina Ali, Imam Syafie’ dan ramai lagi PEMUDA kebanggaan AGAMA dalam sejarah kegemilangan ISLAM.. mereka semua PEMUDA.. mereka semua hampir sebaya kita semasa zaman kegemilangan.. mereka semua bercita-cita.. tetapi bukanlah bercita-cita sekecil jiwa kita, cita-cita mereka HEBAT.. impian mereka BERSEMANGAT.. impian mereka ingin menguasai DUNIA!

SubhanAllah.. bukti apa lagi yang kita mahukan untuk membuktikan  PEMUDA seperti kitalah yang seharusnya bangun dari lena, sedar dari angan-angan yang sia-sia, bangkit dari alam maya ke alam yang nyata..

Siapa lagi yang akan jadi PENDOKONG UTAMA AGAMA, jika bukan dari dalam kalangan PEMUDA itu sendiri..

Anda lah PEMUDA harapan AGAMA itu !!

Lihatlah realiti masa kini.. pemuda kian longlai, pemuda semakin kusut masai.. pemuda mudah dihina, pemuda senang dicerca.. pemuda tiada wawasan diri, pemuda tiada pegangan AGAMA yang sejati..

Katakanlah dalam diri kita, kamilah PEMUDA PEJUANG, PEMUDA yang bukan hanya duduk senang lenang, PEMUDA harapan AGAMA, PEMUDA perubahan identiti BANGSA.. kami orangnya.. kami adalah RIJAL yang ditungu-tunggu kehadirannya.. kami !! kami orangnya.. katakanlah dalam diri.. tekadkan dalam sanubari..tanamkan dalam hati..

Untuk berubah dari seorang lelaki biasa kepada PEMUDA LUAR BIASA ini, ada satu perkara yang penting untuk kita sama-sama telitikan. Apakah ia ??

 Itulah HATI ..

 “Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar mengetahui apa yang disembunyikan hati mereka dan apa yang mereka nyatakan..” [Surah An-Naml, 27:74] 

Jika seorang tentera itu mahu kekuatan dalam dirinya, latihan FIZIKAL merupakan latihan utama. Begitu juga seorang PEMUDA. Jika dia mahu kekuatan rohani dalam dirinya, latihan HATI merupakan latihan yang asasi.

Untuk menjadi PEMUDA penyumbang dalam usaha menggapai ‘ustaziyatul ‘alam, HATI perlu bersih.. HATI perlu jernih.. bersih dan jernih dari kufur serta segala macam kemaksiatan.

HATI itu ibarat kubu sebuah istana. Kita perlu mempertahankan kubu kita daripada diceroboh oleh SYAITAN dan IBLIS LaknatULLAH yang durjana.. kita perlu ada cara dalam mengawalnya. Kita perlu ada strategi untuk mempertahankannya. Apakah cara dan strateginya ?? Kita perlu mempertahankan pintu masuk kubu istana. Itulah strategi utama. Jika ini kita mampu lakukan, nescaya tentera-tentera SYAITAN dan IBLIS pasti sukar untuk menceroboh masuk ke dalam istana. Persoalannya sekarang, apakah pintu-pintu masuk kubu  tersebut ?? Atau secara realitinya, apakah pintu-pintu masuk SYAITAN dan IBLIS ke dalam hati kita ??

Pintu-pintu masuk tersebut adalah sifat-sifat kita sendiri.. Sifat hasad dengki, ammarah yang keterlaluan, sifat suka bermusuh-musuhan, malas, pengotor, pengeji.. itu semua adalah sebahagian pintu-pintu masuk ‘kubu istana’ .. kawal pintu masuk tersebut, nescaya selamatlah istana.. kawal sifat-sifat mazmumah tersebut, nescaya selamatlah hati kita.. itulah analoginya.. mudah untuk hadam dalam fikiran, tetapi payah untuk dilaksanakan.. berusahalah untuk mendapat HATI yang suci, bersungguhlah demi memperolehi pangkat PEMUDA yang disegani RABBI .. nescaya pasti ada bahagian untukmu di Akhirat nanti.. percayalah..

Ayuh PEMUDA !! Ayuh kita semarakkan semangat !! Semangat yang kian lama terpendam.. semangat yang sudah lama tertanam.. jangan biarkan ia begitu sahaja, nescaya menyesal kamu di suatu ketika.. gunakanlah jiwa PEMUDA kamu di tempat yang sepatutnya, di tempat yang membanggakan ISLAM, di tempat yang diredhai AS-SALAM ..

Moga PEMUDA-PEMUDA PILIHAN seperti kita semua ini, bertemu gembira bukan sahaja di alam duniawi, malah bertemu riang di SYURGA FIRDAUSI

Image

Tulisan, 

Firdaus Muhammad 

Ketua PEMBINA Kawasan Seremban

 

45O Pelajar USIM sedar COMANGO Pengkhianat Negara


Image

Nilai, 18 – ‘COMANGO’ ni berbahaya kepada kesejahteraan Negara, dan isu sebegini memang patut didedahkan kepada mahasiswa’’ kata Amrina Rusyada, salah seorang peserta Talk COMANGO Pengkhianat Negara semalam. Beliau juga merupakan Pelajar Tahun 3 dalam bidang Al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tambah beliau lagi, mahasiswa hari ini perlu banyak mendalami ilmu luar kuliah supaya tidak ketinggalan dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar ini.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Wadah (PERWADAH) dengan kerjasama PEMBINA Negeri Sembilan ini mendapat sambutan, dewan DKP 3 yang hampir memuatkan 400 orang, penuh dengan kehadiran samada sedari awal program ataupun ketika pertengahan.

‘’Ini menunjukkan, mahasiswa hari ini berusaha cakna dengan isu semasa’’ kata Omar Kasim, 36, apabila ditanya wartawan berkenaan peserta program ini. Beliau juga yang merupakan pengurus PETRONAS berkata, mahasiswa harus menjadi wartawan kepada ummah dengan menggunakan semua medium media dalam menyebarkan bahaya tuntutan COMANGO kepada kedaulatan Islam di Malaysia.

‘’Sambutan malam ini membuktikan bahawa mahasiswa/mahasiswi USIM sudah mula bergerak ke lebaran baharu dengan talk ilmiah sebegini daripada talk yang biasa dianjurkan bertemakan percintaan diantara lelaki dan perempuan’’ Presiden PERWADAH.

Menurut Aiman Faudzi, Implikasi COMANGO akhirnya akan menghancurkan kesejahteraan negara terutama tuntutan kebebasan membenarkan perlakuan seks songsang. Beliau merupakan seorang JK Kajian dan Informasi PEMBINA.

Majlis COMANGO Pengkhianat Negara ini berakhir pada jam 10.00 pm.

Wartawan Ummah,

Ummi Kalsom Mohamad Khalid

MUASOFAT TARBIYAH ASAS PEMBINAAN USTAZIYATUL ALAM


 

Image

 

USIM, 24 November 2013 – Buat julung-julung kalinya, PEMBINA USIM mengadakan usrah umum bagi meneruskan penyampaian dakwah kepada mahasiswa. ’10 Muasafat Tarbiyah’ menjadi tajuk pertama perbincangan bagi sesi kali ini.

Hassan Al-Banna telah menggariskan tujuh tingkat yang perlu dicapai untuk mengembalikan kegemilangan islam seperti yang pernah terangkum di dalam sejarah global, apabila islam telah menguasai 2/3 dunia. ‘Maratib Amal’ ini bermula dengan:

1- Individu Muslim

2- Keluarga Muslim

3- Masyarakat Muslim

4- Daulah Islamiyah

5- Khilafah islamiyah

6- empayar Islamiyah

7- Ustaziyatul Alam

“Tidak dapat tidak,segalanya perlu dimulakan dengan pembinaan individu muslim. Hatta telah tercapai ke tangga seterusnya sekalipun, asasnya wajib sentiasa diperkukuhkan. Individu tersebut mestilah sentiasa memperbaiki  10 muasafat tarbiyah”, – Saudara Mabrur (Pemangku Pengerusi PEMBINA Negeri Sembilan)

Berikut merupakan 10 muasafat tarbiyah yang menjadi asas kepada pembinaan individu muslim:

 

1. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

· Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.

· Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.

· Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

 

2. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

· Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.

· Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.

· Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).

 

3. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

· Dakwah berat tanggungjawab dan tugas – perlukan badan yang sihat dan kuat.

· Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.

· Pesanan al-Banna:

· Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan.

 

4. Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

· Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.

· Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.

 

5.Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

· Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.

· Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.

· Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.

· Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari seerah, kesah salaf dan kaedah sertarahsia hukum yang penting.

 

6. Mampu berusaha (Qadiran alaKasbi)

· Walaupun kaya, perlu bekerja.

· Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.

· Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.

· Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).

· Menjauhi riba dalam semua lapangan.

· Menyimpan untuk waktu kesempitan.

· Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.

· Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.

 

 7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

· Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.

· Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.

· Dai mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

 

8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

· Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.

· Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

· ..Aku adalah makhluk baru.. menjadi saksi kepada manusia.

 

9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

· Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.

· Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

 

10. Bermanfaat untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

 

Disediakan oleh,

NOOR ELKAMEL BIN ELIAS

AJK MEDIA

PEMBINA NEGERI SEMBILAN

Kehadiran tetamu memeriahkan suasana


 

Image

UPM, 17 Nov –Setelah akad dilafaz, terpatrilah ikatan kedua pasangan yang merupakan aktivis PEMBINA cawangan Negeri Sembilan sebagai suami isteri. Majlis walimatulurus yang diadakan di Dewan Jauhari, Bangunan Sultan Aleddin Suleiman Syah, UPM dimeriahkan dengan kedatangan ahli keluarga dan sahabat handai.

Pasangan adalah Muhamad Mabrur bin Ahmad yang merupakan Pemangku Ketua PEMBINA Cawangan Negeri Sembilan dan Khairunnisa binti Ramli yang merupakan Ketua Beliawanis PEMBINA Negeri Sembilan. Akad nikah telah dilakukan pada 16hb November di rumah pengantin perempuan.

PEMBINA Negeri Sembilan mengucapkan tahniah dan barakallahu lakuma wa jama’a bainakuma fi khoir kepada pasangan pengantin. Semoga bait Muslim yang dibina menjadi satu pemangkin kekuatan untuk terus berbakti pada agama, bangsa dan negara.

MYCAMP LAHIRKAN RIJAL LUAR BIASA


Image

Muslim Youth Camp (MyCAMP 2013) yang bertemakan MENJEJAKI PAHLAWAN  SILAM begitu bermakna buat kesemua peserta. Program yang berlangsung selama 3 hari bermula 4-6 oktober 2013 bertempat di Kuala Linggi dan Port Dickson ini berjaya melahirkan ‘Rijal Luar Biasa’ yang kesemuanya merupakan mahasiswa tahun 1 USIM dan UNITI.

                Program yang dirangka untuk mendedahkan kehebatan sebenar pejuang-pejuang masa lampau yang berjihad mempertahankan maruah agama di Tanah Melayu diperkukuhkan lagi dengan bukti-bukti daripada hasil temubual para peserta dengan penduduk sekitar yang rata-rata berumur 60 hingga 80 tahun dalam sesi Kafilah Dakwah.

                Pada sesi malam pula,peserta begitu bertuah apabila dapat mempelajari  ilmu silat daripada Ustaz Roslan. Bukan sekadar langkah seni pertahanan diri,namun ilmu yang disampaikan lebih daripada itu apabila pengisian rohani disulami bersama.

                Penutup program merupakan sesi paling bermanfaat buat semua peserta apabila ilmu- ilmu sepanjang program ini dirangkumkan bersama di dalam slot Peranan Pemuda yang disampaikan oleh Ustaz Umair. Ancaman yang dihadapi terutama buat golongan pemuda hari ini didedahkan kepada peserta dan semestinya dapat ditangkis apabila pemuda dipersiapkan dengan pengetahuan, kekuatan dan kemahiran yang mencukupi seterusnya memanfaatkannya untuk perjuangan Islam.

 

NOOR ELKAMEL BIN ELIAS

AJK MEDIA

PEMBINA NEGERI SEMBILAN

 

‘BBQ MUSLIMIN’ PUPUK KESEDARAN BELIA MUSLIM


Image

Nilai – BBQ Gathering (Muslimin) telah berjaya diadakan pada 16 September 2013 yang lalu bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim sesama ahli PEMBINA USIM. Majlis ini telah bermula seawal 8.00 malam dan berakhir kira-kira pada pukul 10.00 malam.

Seramai 35 orang ahli telah berjaya dihimpunkan. Majlis diisi dengan ceramah khas bertajuk ‘Kejatuhan Morsy: Kebangkitan Rakyat atau Konspirasi Dunia’ daripada Saudara Syairawi.

“Program-program sebegini dapat meningkatkan kesedaran kami sebagai pemuda hari ini supaya tidak alpa dengan tugasan yang lebih berat di masa hadapan,” kata seorang peserta.

Di akhir pengisian, Saudara Syairawi telah mengingatkan peserta agar melaksanakan tugas mereka sebagai seorang pemuda iaitu mendalami kehidupan sebenar sebagai seorang Muslim bagi mendepani agenda-agenda jahat pihak musuh.

Image

Peserta kemudian dihidangkan dengan pelbagai jenis hidangan bagi meraikan juga kehadiran ahli dan pelajar-pelajar baharu semester ini.

Semoga program sebegini mampu memberi ruang dan peluang kepada peserta untuk lebih mengenali antara satu sama lain di samping dapat memupuk kesedaran mengenai kepentingan peranan belia Muslim pada masa kini.

Disediakan oleh:

NOOR ELKAMEL BIN ELIAS

AJK MEDIA, PEMBINA USIM.