Pendakwah yang tertipu


remember-who-the-real-enemy-is-e1383875517476 (1)

Negara Islam adalah satu-satunya negara di dunia yang tidak mengangu penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka dengan bebas. Tanpa perlu dipaksa untuk menukarkan agama kepada Islam. Tanpa perlu juga di Melayusasikan seperti mana Thailand meng Siamisasikan orang Islam di sana. Juga jika lihat contoh sejarah yang lebih lama, bagaimana umat Islam di Andalusia, diusir dan dipaksa untuk memeluk agama Kristian.

Malaysia sebagai sebuah contoh negara Islam, mengiktiraf penganut agama lain tanpa mencairkan identiti agama dan bangsa mereka. Hal ini bertepatan dengan perkara 11 (1)  di dalam perlembagaan tentang hak kebebasan beragama. Bangsa Cina datang ke tanah Melayu dan masih boleh mengamalkan ajaran agama mereka, di samping mengekalkan budaya, bahasa, bina rumah ibadat sendiri dan punya sekolah sendiri. Begitu juga bangsa India. Cuba kita cari di negara barat lain, punyakah keistimewaan-keistimewaan sebegini? Walaupun mereka bebas mengamalkan budaya, bahasa dan agama mereka, tidaklah sampai punya sekolah sendiri dan mendapat keistimewaan ruang  dan platform dari segi ekonomi mahupun politik.

Sejak Merdeka lagi, masyarakat Cina dan India menghormati Islam sebagai agama rasmi negara dan kita boleh hidup bersama dalam keadaan harmoni dan saling menghormati. Kontrak sosial telah dipersetujui bersama dengan harmoni. Namun sekarang, oleh kerana peranan orang politik dan missionari agama yang berkepentingan dan gilakan kuasa serta pengaruh, : baca berkepentingan, mereka cuba menghasut, masyarakat bukan Islam di Malaysia untuk meminta perkara-perkara yang di luar batas persetujuan bersama.

Mereka cuba mencabar kedudukan Islam sebagai agama negara dan membuat tuntutan-tuntutan yang boleh merubah struktur negara sebagai sebuah negara Islam seperti tuntutan IFC dan juga COMANGO. Mereka sedar, hanya dengan merubah struktur negara, cita-cita mereka ini boleh direalisasikan dan terlaksana. Lalu, tanpa persaan segan silu, serta tidak menghormati norma-norma perpaduan kaum seperti yang telah lama termetrai, mereka kini semakin berani menimbulkan kontroversi dengan membuat kenyataaan menghina Islam seperti “bukan Islam tidak tertakluk pada titah sultan, guru tidak dibenarkan memakai tudung, isu kalimah Allah dan bermacam-macam lagi, sedangkan mereka bukanlah mewakili suara majoriti masyarakat non Muslim di Malaysia.

Sedarlah, mereka inilah musuh yang kita tentang, dan bukannya kita tentang masyarakat non Muslim yang lain. Buktinya, anda boleh lihat sejarah sendiri. Jika masyarakat non Muslim di Malaysia memang benar-benar ditentang dan ditindas, tidak akan wujud walau sebuah sekolah, rumah ibadah, mahupun dibenarkan utk mengamalkan budaya dan bertutur dalam bahasa mereka sendiri dengan bebas.

Jangan salah faham!

Mempertahankan Islam bukan bermaksud kita membenci orang bukan Islam. Apatah lagi menghina dan mencerca mereka tanpa sebarang asas dan tujuan. Bagaimana mungkin mereka ingin tertarik kepada Islam, jika mereka lihat Islam sebagai agama kebencian? Sedangkan, Islam adalah agama kasih sayang. Islam juga bukanlah menyeru kepada senitmen perkauman, bahkan Islam sangat menghormati hubungan umum sesama umat manusia. Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Hujurat ayat 13:

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu boleh berkenal-kenalan”

Juga dalam surah Al Mumtahanah ayat 8

“Allah tidaklah menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu pada agama dan yang tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu”

Imam Hassan Al Banna ketika menghuraikan mengenai hubungan sesama manusia ini dalam konteks perpaduan berkata

“Kita mengetahui semuanya itu; kita tidaklah menyeru kepada fahaman apartheid dan tidak juga ke arah fanatik perkauman sehinga membuat kezaliman kepada orang lain. Walaubagaimanapun kita tidaklah pula menjual iman kita dengan harga perpaduan tersebut dan kita tidak juga bersedia untuk tawar menawar kerana menegakkan perpaduan tadi sehingga tergadai akidah kita. Kita tidak akan sanggup berusaha untuk menegakkan perpaduan tersebut hingga mengorbankan kepentingan-kepentingan orang Islam”

Ingat !

Sebagai seorang daie, kita kena sedar bahawa hakikat dakwah itu sendiri adalah keselarasan antara menegakkan hujah/menyatakan kebenaran dan memberikan nasihat serta menghidupkan iklim taushiyah saling pesan memesan.

Keselarasan ini adalah hakikat sebenar-benarnya dakwah bil hikmah. Seorang daie harus bijak memahami waqi’ (realiti) semasa dan mengaplikasikan dalam konteks dakwah setempat. Kekeliruan dalam memahami waqi’ akan mengakibatkan ketidak seimbangan dalam memilih methodologi dakwah yang betul.

Sebagai contoh, ketika suasana menuntut seorang daie itu wajib menyatakan kebenaran dan menegakkan hujah maka dia tidak boleh mengunakan methodologi memberikan nasihat. Adapun cara itu tidak kena dan tidak sesuai pada ketika itu. Sepertimana ketika kita berdepan dengan pihak Evangelis yang mahu menggunakan kalimah Allah sebagai strategi konteksualisasi kristianisasi yang mereka gunakan di negara-negara lain seperti di India, Jepun, Peru dan sebagainya. Hal ini diakui sendiri mereka seperti yang tercatat dalam laman sesawang christianity today edisi Februari: (http://www.christianitytoday.com/ct/2011/february/soncrescent.html)

When missionary pioneer William Carey translated the Bible into Bengali in 1809, he used the Hindu word for the supreme being, Ishwar, to refer to God. Critics charged him with making a fatal compromise in the name of comprehension. Today, “Son of God” is hardly the only point of contention among missionaries to Muslims. For example, they also tangle over whether Bible translations should use Allah to refer to God. Both sides make a compelling case. Muslims understandAllah in terms of simple monotheism rather than the dynamic Trinitarian theology that Christians profess. Yet Allah, the word for God that Muslims know from the Qur’an, actually predates Islam. Some translators have recovered it so that Muslims reading Scripture for the first time won’t immediately reject the Bible as foreign to their culture.

Hujah diperlukan untuk menyekat strategi licik mereka.

Begitu juga jika suasana memerlukan seorang daie itu menghidupkan iklim nasihat dan saling berpesan-pesan dengan kelembutan maka methodologi menegakkan hujah dan menyatakan kebenaran dengan tegas adalah sama sekali tidak sesuai. Seperti mana contoh seorang atau lebih bukan Islam yang benar-benar keliru dan tidak tahu tentang isu ini lalu dia datang kepada kita untuk meminta penjelasan, maka kita tidak boleh mengherdik dan mencaci mereka. Kita seharusnya menggunakan isu kalimah Allah ini untuk menerangkan kepada mereka tentang Islam dan konsep Allah itu Esa, tanpa melunturkan sedikit pun pegangan dan akidah kita. Itulah hakikat dakwah. Dakwah bukan sekadar mengajak orang kepada Islam secara lembut. Tetapi juga dakwah adalah pada menegakkan hak dan menyatakan kebenaran. Keselarasan antara dua methodologi inilah yang akan melahirkan cara dakwah yang paling efektif dan berkesan selepas mengambil kira dan tahu membezakan antara mad’u (objek dakwah) ataupun musuh dakwah.

Kerana hakikatnya bukan semua mereka musuh dan bukan semua mereka kawan. Berhati-hati dalam memilih kawan dan menilai musuh. Bijak dalam membuat pertimbangan antara sasaran dakwah dan musuh kepada Islam. Jangan pukul rata dan menyamakan setiap perkara dalam semua situasi. Ada masa kita berlembut, ada masa kita bertegas.

Lembut itu tidak bermaksud kita lemah, dan tegas itu tidak bermaksud kita berkeras. Lembut pada masanya, dan tegas pada ketikanya. Berlembut, jangan sampai dipijak kepala, bertegas jangan sampai mengadai akhlak pula.

Dakwah dengan nasihat dan dakwah dengan hujah. Itu suatu kewajipan. Itu satu tuntutan. Perlakukan keduanya dengan cara yang sepatutnya. Betul strateginya, betul pendekatannya, betul kaedahnya. Supaya nanti tidak membawa fitnah kepada Islam. Samada, dilihat lembik atau dipandang hina, itu bukan salah Islam, tetapi salah kita yang membawanya. Justeru, amatlah penting bagi kita memahami hakikat percaturan sebenar musuh Islam dalam konteks semasa. Amatlah dangkal apabila kita mengaitkan ancaman ini sekadar satu tipu daya politik lalu kita mengambil sikap berlepas tangan. Sedangkan membela agama Allah ini adalah satu tuntutan dan kefardhuan seperti mana kata Syeikh Ramadhan Al Buthy di dalam Fiqh Sirah,

Allah telah menjadikan kesucian agama dan akidah itu lebih daripada yang lain. Tidak ada erti bagi tanah, negara, harta kekayaan pangkat dan harta sekiranya aqidah dan syiar agama terancam, musnah dan dimusuhi. Oleh yang demikian Allah mewajibkan ke atas setiap hambanya agar mengorbankan segala-galanya sekiranya keadaan memaksa demi kepentingan aqidah dan Islam .

Wallahualam.

sumber: http://akubukansuparmen.wordpress.com/2014/05/08/pendakwah-yang-tertipu/

Posted on 26 May 2014, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a comment