PESTA DEMOKRASI : Seruan Dan Tuntutan Kepada Anak Muda.


ImageTanggal 3 April 2013 jam 11.30 pagi, tamatlah segala persoalan dan teka teki berkenaan pembubaran parlimen yang bermain sejak penghujung tahun 2011 lagi. Perisytiharan pembubaran parlimen diumumkan oleh Mantan Perdana Menteri ke-6 Dato Seri Najib Tun Razak dan secara tidak langsung pembentukan caretaker government/ Kerajaan sementara Malaysia terbentuk sehingga selesainya pesta demokrasi Malaysia ke-13.

Menariknya pesta demokrasi pada kali ini, percambahan pengundi baharu yang mengundi buat kali pertama adalah dari golongan anak muda justeru mereka-mereka inilah yang diberikan perhatian  dan sasaran kesemua parti sama ada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Menurut laporan kajian yang dilakukan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang dibentangkan oleh Pengarah UMCEDEL, Y.Bhg. Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman sewaktu Konvensyen Pencerdasan Rakyat anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) pada 9 Mac 2013 yang lalu, menyifatkan rata-rata golongan ini adalah “pengundi atas pagar” yang mana mereka dari golongan kelas menengah dan atasan, berpendidikan tinggi, berumur kurang 40 tahun dan majoriti merupakan lepasan pusat pengajian tinggi. Golongan ini merupakan golongan kritikal kerana memilih parti berdasarkan prestasi, akses kepada maklumat selalu membuat perbandingan dan pemilihan yang rasional. Ini bermakna golongan ini akan hanya memberi undi kepada mana-mana parti yang boleh mempengaruhi mereka. Tambah beliau lagi, jumlah pengundi muda yang mahu mengundi BN adalah 42 % dan Pakatan Pembangkang adalah 37%. Manakala 21% masih tidak pasti untuk memilih BN ataupun Pakatan Pembangkang (kumpulan atas pagar). Hasil kajian juga mendapati pengundi-pengundi di atas pagar ini tidak dapat menyatakan pendirian parti politik pilihan mereka kerana tidak yakin dengan ahli politik, institusi politik, politik sedia ada dan politik gagal menarik minat mereka.

Rentetan daripada kajian di atas menunjukkan bahawa kuasa yang ada pada pengundi baharu atau pada golongan anak muda adalah kuasa arus perubahan, yang sedikit sebanyak akan memberi impak di penghujung pesta demokrasi. Sehubungan dengan itu, beberapa seruan dan tuntutan ditujukan buat anak muda bersempena kehangatan Pesta Demokrasi yang kian membahang:

1)     MEMAHAMI & MENYAKINI PERJUANGAN.

  • Faham dan yakini dahulu apa yang diperjuangkan oleh parti pilihan masing-masing secara total. Bukannya semberono mengikuti dan berjuang dengan semangat semata-mata

2)     BERPARTISIPASI DALAM MERAIKAN DEMOKRASI.

  • Sejurus memahami dan yakin dengan apa yang diperjuangkan. Libatkan diri anda secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang pesta demokrasi berlaku dengan berbekalkan kefahaman dan keyakinan. Sesungguhnya menjadi satu kerugian jika tenaga anak muda tidak dapat dimobilasi sepenuhnya.

3)     MEMARTABAT POLITIK IDEA & INTEGRITI, MEMBENAM POLITIK KOTOR & JIJIK.

  • Memilih dan membuat keputusan berdasarkan idea yang dibentangkan dan integriti calon bukannya atas dasar ketaasuban kepada sesuatu parti. Menolak terus sebarang unsur-unsur serangan peribadi dan mengaibkan, hujah seharusnya dilawan dengan hujah.

4)     GUNAKAN RUANG DEMOKRASI UNTUK MENYUARAKAN HAK DAN PENDAPAT.

  •  Berani menyuarakan hak dan pendapat supaya perjuangan kita seiringan dengan perjuangan yang dijuang kan oleh calon.

5)     MEMPERKASA SIFAT SEMAK DAN IMBANG.

  • Adil dan berfikiran terbuka pabila mengadili sesuatu isu dengan penilaian perbandingan bukannya kecenderungan.

6)     NILAI UKHUWAH MENJANGKAUI KECENDERUNGAN POLITIK.

  • Menghormati dan yakini bahawa kecenderungan politik seseorang itu merupakan hak peribadi individu maka perbalahan sesama insan atas dasar perbezaan fahaman politik harus dielakkan.

Konklusinya, sama-sama kita merenung kalam dari Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”. Maka dengan itu moga-moga penyaksian kita adalah penyaksian yang tepat.

Sekian.

Oleh:
Harith Hamidi,
Tahun 3,
Pengajian Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia.
Aktivis PEMBINA N9

Posted on 29 April 2013, in Isu Semasa. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a comment