KAHFI 2010 Tonjol Bakat Belia Menurut Landasan Islam
Kejohanan Futsal Islami (KAHFI) 2010 telah melakar sejarah apabila dua buah pasukan yang menjadi naib juara pada edisi 2009 berjaya mengungguli kategori masing-masing untuk tahun ini. Pasukan Kolej UNITI, Port Dickson memenangi kategori belia manakala pasukan RRJ FC dari Taman Rasa Sayang pula menjuarai kategori remaja. Ternyata kejayaan itu tidak datang dengan sekali percubaan tetapi adalah hasil daripada usaha yang berterusan dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri, sekaligus membuktikan kebolehan golongan remaja dan belia.
KAHFI 2010 yang merupakan kejohanan futsal tahunan edisi ke-3 anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) ini telah berlangsung pada 7 Februari yang lalu di Gelanggang Futsal, Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Paroi. Seawal jam 8 pagi, sebanyak 10 pasukan remaja dan 14 pasukan belia yang mengambil bahagian telah mula mendaftarkan diri. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran pasukan-pasukan dari luar Seremban, termasuk dari luar Negeri Sembilan.
Tahniah kepada JKP PEMBINA 2010-2011
Seluruh ahli PEMBINA Negeri Sembilan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) PEMBINA sesi 2010-2011 yang baru dilantik pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-2 PEMBINA baru-baru ini. PEMBINA NS meyakini bahawa barisan JKP baru di bawah kepimpinan Presiden, Saudara Zaizul Azizi bin Zaman ini berupaya memajukan lagi aktivisme PEMBINA dengan idea-idea yang lebih segar dan bertenaga. InsyaAllah, PEMBINA NS akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada kepimpinan yang baru ini.
Sebahagian ahli JKP PEMBINA yang baru dilantik.
Semoga JKP baru ini dapat memikul segala amanah dan melaksanakan tugasan yang diberikan dengan sebaiknya, berbekalkan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua ahli PEMBINA di seluruh pelosok negara. Tidak dilupakan, terima kasih juga kepada JKP PEMBINA sebelum ini di bawah kepimpinan mantan Presiden, Dr. Kamil Azmi bin Tohiran yang telah meletakkan batu asas yang kukuh dan menetapkan hala tuju yang jelas bagi merealisasikan aspirasi untuk menjadikan PEMBINA sebagai organisasi belia terunggul di tanahair. Jazakumullah khairan khatira.
PEMBINA NS & FOCHUSS UIA Kerjasama Lahirkan Mahasiswa Kelas Pertama
Nilai, 20 Januari – Dalam usaha untuk melahirkan generasi belia yang unggul dan berketrampilan, PEMBINA Negeri Sembilan telah bekerjasama dengan Foundation Centre of Human Science Students Society (FOCHUSS), sebuah persatuan mahasiswa di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Nilai bagi menjayakan Program Diskusi Mahasiswa di sini. Program yang diadakan khusus untuk para pelajar UIA ini dijalankan dalam bentuk forum dengan menampilkan dua orang tokoh undangan iaitu Dr. Ahmad Kamsani Samingan (Timbalan Presiden PEMBINA) dan Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin (Naib YDP ISMA Seremban).
Program dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Pengerusi PEMBINA NS, Saudara Mohd Firdaus Sabturani dan diikuti dengan agenda utama iaitu Diskusi Mahasiswa yang membawakan tajuk ‘Mahasiswa Kelas Pertama’. Berbekalkan pengalaman yang cukup luas sebagai tokoh mahasiswa dahulu, kedua-dua ahli panel telah mengupas perspektif-perspektif yang seharusnya dimiliki oleh mahasiswa kelas pertama merangkumi aspek penguasaan ilmu, kepimpinan, sahsiah, pengurusan diri, siasah dan kemasyarakatan. Diskusi ini turut diselang-selikan dengan beberapa pertanyaan daripada para hadirin.
Explorace PEMBINA NS Eratkan Ukhuwwah Sesama Beliawanis
Nilai, 10 Januari 2010 – Alhamdulillah, PEMBINA Negeri Sembilan telah berjaya menganjurkan Explorace Beliawanis bertempat di Nilai 3. Program ini mendapat sambutan ramai di mana sebanyak 15 kumpulan mengambil bahagian yang rata-ratanya merupakan para penuntut di IPT-IPT sekitar NS seperti USIM, Pusat Asasi UIA dan Kolej UNITI Port Dickson. Bertemakan ‘Marilah Bersama Menjalin Ukhuwwah’, explorace ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah di kalangan beliawanis dan memperkenalkan mereka kepada PEMBINA. Selain itu juga bagi memenuhi salah satu daripada 10 muwasofat iaitu sihat tubuh badan.
Para peserta mula berkumpul di Surau Nilai 3 seawal pukul 9 pagi dengan semangat yang penuh berkobar-kobar. Usai sesi taklimat oleh urusetia dan bacaan doa, persaingan dimulakan dengan setiap kumpulan yang terdiri daripada 4 orang beliawanis berlumba-lumba untuk menyelesaikan semua tugasan yang diberikan dalam masa terpantas. Sepanjang explorace ini berjalan, semua peserta kelihatan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan aktiviti yang disediakan terutamanya dalam menjawab soalan-soalan yang memerlukan mereka mengingati semula apa yang telah dipelajari selama ini.
Hebahan: Kejohanan Futsal Islami (KAHFI) 2010
Dalam usaha untuk mempromosi aktiviti riadah kepada masyarakat, Kelab Remaja ISMA (KRIM) NS dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) NS, mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kejohanan Futsal Islam (KAHFI) 2010 seperti berikut:
Tarikh: Ahad, 7 Februari 2010
Tempat: Kompleks Belia & Sukan Negeri Sembilan, Paroi
Masa: 8.00 pagi – 4.00 petang
Yuran: RM100 setiap pasukan

















































