Hebahan: BBQ Gathering Bersama Belia
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Nilai dengan sukacitanya menjemput para belia (sahaja) di sekitar Nilai untuk hadir ke Program BBQ Gathering Bersama Belia. Program ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah di kalangan belia selain menyuntik semangat buat mereka yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Butiran lanjut seperti berikut:
- Tarikh: 30 Oktober 2009 (Jumaat)
- Tempat: Taman Desa Anggerik, Bandar Baru Nilai
- Masa: Bermula selepas solat Maghrib
- Agenda: Persiapan BBQ, ucapan alu-aluan, ta’aruf, tazkirah, tayangan multimedia, jamuan BBQ
- Menu: Ayam, sosej, kerang, air bandung
Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi wakil-wakil PEMBINA Nilai iaitu saudara Mohd Nor Adzim bin Shaari (019-6107108) atau saudara Muhammad Mabrur bin Ahmad (017-5748025). Jom hadir beramai-ramai!!!
PEMBINA Port Dickson Anjur Jaulah Eid
Sabtu, 17 Oktober – Sempena sambutan Aidilfitri 1430H yang masih berbaki, PEMBINA Port Dickson telah melaksanakan satu misi Jaulah Eid yang merentasi Seremban, Palong dan Segamat. Berbekalkan kekuatan seramai 19 orang belia beserta 5 buah kereta, jaulah dimulakan pada pukul 7 pagi di Kolej UNITI Port Dickson dengan sedikit taklimat dan adab-adab musafir yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Sofee bin Mustafa, Pengerusi PEMBINA PD dan juga diiringi dengan bacaan doa dari Ustaz Khairul Syazwan.
Misi Jaulah Eid ini singgah di Seremban dengan menziarahi teratak Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin iaitu Naib YDP ISMA Seremban, juga seorang aktivis yang aktif memperjuangkan isu Palestin. Rombongan kami telah dijamu dengan sarapan pagi nasi lemak yang enak. Ahli-ahli PEMBINA PD juga sempat mengajukan beberapa soalan berkaitan dengan pengalaman-pengalaman dakwah yang telah dilalui oleh beliau. Sesungguhnya perkongsian tersebut cukup membakar semangat para belia yang hadir untuk turut memberi sumbangan kepada agama dan masyarakat.
Majlis Sambutan Aidilfitri 1430H PEMBINA NS Meriah
PEMBINA Negeri Sembilan tidak ketinggalan untuk meraikan nikmat anugerah Syawal dengan mengadakan satu majlis sambutan yang dinamakan Majlis Silaturrahim di Aidilfitri 1430H pada 10 Oktober 2009. Acara yang berlangsung di Masjid Bandar Baru Senawang ini turut dijayakan secara bersama dengan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seremban. Kira-kira 400 orang hadirin telah memeriahkan masjlis termasuk para belia dan beliawanis daripada institusi-institusi pengajian tinggi di sekitar Seremban dan Nilai.
Majlis Silaturrahim di Aidilfitri 1430H ini juga meletakkan objektif untuk menyuburkan ukhuwwah sesama belia dan beliawanis terutamanya di kalangan ahli-ahli PEMBINA sendiri, selain memperkenalkan PEMBINA sebagai satu organisasi belia Islam kepada masyarakat. Majlis yang berlangsung antara pukul 11 pagi hingga 2 petang ini telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Abdul Rahman bin Muda diikuti ucapan perasmian oleh Ustaz Mohd Azizee bin Hasan selaku Yang Dipertua (YDP) ISMA Seremban.
Ramai, Namun Biarlah Bernilai
Salam ukhuwwah buat belia dan beliawanis.
Baru-baru ini satu laporan telah dikeluarkan yang menyatakan bahawa jumlah penganut agama Islam di seluruh dunia kini sudah mencecah angka 1.57 billion, atau kira-kira satu perempat daripada keseluruhan populasi global. Perangkaan terbaru ini diperolehi hasil daripada kajian Pew Forum on Religion and Public Life (Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam), sebuah badan ’think-tank’ yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Kajian yang memakan masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan beberapa dapatan dan fakta yang menarik mengenai taburan penduduk Islam di dunia. Contohnya, satu perlima daripada keseluruhan penganut Islam tinggal di negara-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam. Ini termasuk Rusia yang didapati mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya. Bahkan Jerman juga mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon.
Perkembangan positif ini jelas membuktikan penerimaan masyarakat di seantero dunia terhadap agama Islam meskipun pelbagai fitnah dan tohmahan telah cuba dilontarkan oleh musuh-musuh Islam. Dengan jumlah penganut yang meliputi 25% daripada keseluruhan penduduk dunia, kewujudan umat Islam di pentas global cukup signifikan dan suara mereka sama sekali tidak boleh dipinggirkan.
Dalam arus persaingan kuasa dan pengaruh hari ini, bilangan penganut yang ramai ini dilihat sebagai satu aset kekuatan yang amat berpotensi untuk menjadikan umat Islam sebagai satu bangsa yang dominan. Sekiranya 1.57 billion individu ini mampu bersatu di atas satu matlamat, nescaya umat Islam berupaya untuk bangkit sebagai satu kuasa pendesak atau pengimbang kuasa kepada negara-negara besar yang lain.
Malah sebenarnya nisbah seorang muslim bagi setiap empat orang tersebut sudahpun melebihi syarat kemenangan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. iaitu seorang muslim (yang sabar) kepada sepuluh orang kafir. Ukuran kekuatan berasaskan bilangan ini sekaligus menunjukkan kepentingan nilai kuantiti dalam konteks perjuangan dakwah Islam. Hal ini terkandung di dalam firmanNya yang bermaksud:
”Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti” (Al-Anfaal: 65).
Majlis Iftar PEMBINA NS Erat Ukhuwwah Di Kalangan Belia
Sekalipun Ramadhan 1430H sudah pun berlalu meninggalkan kita, namun semangat dan kenangannya masih segar di ingatan. Di antara aktiviti yang telah dilaksanakan oleh PEMBINA Negeri Sembilan pada bulan Ramadhan yang lalu ialah Program Iftar Perdana Bersama Belia di Taman Desa Anggerik, Nilai pada 5 September 2009 bersamaan 15 Ramadhan 1430H. Program yang berjaya mengumpulkan lebih 20 orang belia dari sekitar Nilai dan Seremban ini bertujuan untuk menyuburkan ikatan ukhuwwah di kalangan belia serta bersama-sama menghidupkan bulan Ramadhan dengan amal ibadah.
Majlis dimulakan dengan jamuan berbuka puasa diikuti solat Maghrib, Isyak dan Tarawikh secara berjemaah. Ini diikuti dengan sesi taaruf yang memberi ruang kepada semua peserta saling berkenalan antara satu sama lain. Saudara Yasser Ariff Ahmad Sidi selaku Pengerusi PEMBINA Nilai kemudiannya menyampaikan sedikit pengisian rohani berkenaan keistimewaan bulan Ramadhan, termasuklah peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah Islam. Antaranya ialah penurunan kitab suci Al-Quran, bulan Lailatul Qadar, peperangan Badar Al-Kubra, pembukaan Kota Mekah, peperangan Ain Jalut dan banyak lagi.
Kenyataan Media Aman Palestin Berikutan Pencerobohan Masjid Al-Aqsa
Kenyataan Media Aman Palestin Berikutan Pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa Al-Mubarak dan Seruan Menjadikan Hari Jumaat, 9 Oktober 2009 Sebagai “Yaumul Ghadab” (Hari Kemarahan) Memperjuangkan Masjid Al-Aqsa.
AMAN PALESTIN mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa Al-Mubarak oleh penduduk Yahudi di bawah pengawasan tentera Israel pada hari Ahad 4 Oktober 2009 dan berterusan sehingga kini.
Pencerobohan itu, yang dilakukan tepat selepas 9 tahun Ariel Sharon melaksanakan tindakan memalukan yang sama, berlaku pada perayaan Yahudi ‘Yom Kippur’. Tindakan mereka ini telah menyebabkan 16 orang rakyat Palestin dimasukkan ke hospital dan 9 lagi dipenjarakan. Masjid Al-Aqsa Al-Mubarak adalah tempat suci dan ianya sangat tidak boleh diterima apabila tentera Israel bersama penduduknya dibenarkan untuk melakukan jenayah yang kejam terhadap rakyat Palestin, komuniti Muslim dan masjid sucinya.
AMAN PALESTIN menyeru semua badan perundangan antarabangsa untuk memberi tekanan ke atas mereka yang terlibat di atas tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan dan menghalang mereka dari mengulangi perbuatan yang sama pada masa akan datang.
AMAN PALESTIN juga menuntut para pemimpin negara-negara Arab dan Islam supaya mengadakan sidang kemuncak tergempar untuk menyelamatkan Al-Aqsa daripada pencerobohan Israel.
Ini berikutan ancaman bahaya ke atas Masjid Al-Aqsa yang disebabkan oleh pencerobohan puak ekstremis Yahudi ke atas kawasan Masjid Al-Aqsa. Umat Islam juga dihalang daripada bersolat di dalamnya dan penangkapan beramai-ramai ke atas umat Islam yang beriktikaf kerana mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada dicabuli dan dinodai.
Tentera Israel juga mengancam untuk menguasai Masjid Al-Aqsa sebagai permulaan untuk membahagikan Masjid Al-Aqsa kepada umat Islam dan Yahudi. Seperti mana yang berlaku kepada Masjid Al-Ibrahimi sebelum ini.





































